Home Nasional Perbualan Najib, Rosmah tak ganggu pengundi Kimanis

Perbualan Najib, Rosmah tak ganggu pengundi Kimanis

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Ceramah Perdana DUN Bongawan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 08 JANUARI 2020

KIMANIS – Pendedahan sembilan audio konspirasi jenayah tertinggi membabitkan rakaman perbualan tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau meyakini bahawa isu yang ditimbulkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak akan menjejaskan pilihan pengundi Kimanis kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin pada 18 Januari ini.

“Saya tidak nampak pengundi-pengundi Kimanis terganggu dengan pendedahan kononnya terhadap bahan-bahan siasatan yang dibuat oleh badan penguatkuasa itu.

“Pada saya, pengundi Kimanis ini bijak untuk menilai bahawa isu-isu itu pun tidak menjejas keyakinan dan kepercayaan mereka kepada calon BN,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Perdana BN DUN Bongawan di Kg Malawaring, hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya hari ini mengenai sembilan sembilan audio konspirasi jenayah tertinggi membabitkan rakaman perbualan tujuh individu termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Perbualan suara itu turut membabitkan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin serta Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.

Rakaman audio di antara Najib dan Rosmah didedahkan kepada umum dan diperdengarkan kira-kira 45 minit menerusi sidang media tersebut di SPRM Putrajaya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan SPRM agar tidak menjadi alat politik kepada parti pemerintah, lebih-lebih lagi apabila ia didedahkan kepada umum ketika kempen PRK Parlimen Kimanis.

“Saya fikir mana-mana badan penguatkuasaan harus berpijak dalam bidang kuasa masing-masing.

“Jangan dijadikan sebagai alat politik apatah lagi jika ada matlamat politik dilakukan terutamanya untuk mengalihkan perhatian di dalam mana-mana pilihan raya kecil yang diadakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette