Home Dunia Pesawat Ukraine terbakar di udara

Pesawat Ukraine terbakar di udara

Pasukan penyiasat berada di lokasi pesawat Ukraine yang terhempas di Tehran. foto Agensi

BAGHDAD – Pesawat Ukraine terbakar sebelum ia terhempas di barat daya Tehran yang membunuh 176 orang penumpang dan anak kapal.

Sementara itu, Ukraine berkata, pasukan penyiasatnya mahu mencari kemungkinan ada serpihan peluru berpandu Rusia di tapak lokasi kemalangan.

Pesawat Boeing 737-800, yang terbang ke Kiev dan membawa sebahagian besar warga Iran dan Kanada terhempas sejurus selepas berlepas semalam dari Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran.

Laporan oleh organisasi penerbangan awam Iran yang memetik saksi-saksi di lapangan dan sebuah pesawat yang yang terbang pada paras lebih tinggi berkata, pesawat berkenan terbakar semasa berada kedudukan tinggi.

Pesawat tiga tahun itu, yang mempunyai penyelenggaraan berjadualnya terakhir pada hari Isnin lalu didakwa mengalami teknikal sejurus selepas berlepas dan berpatah balik menuju ke lapangan terbang semula sebelum terhempas, kata laporan itu.

Namun, masalah teknikal tidak dinyatakan dalam laporan, selain memberitahu tidak ada komunikasi radio daripada juruterbang.

Pesawat berkenaan hilang dari radar pada ketinggian 8,000 kaki.

Setakat ini tidak jelas sama ada isu teknikal boleh dikaitkan dengan kesilapan dalam penyelenggaraan atau bahagian rosak.

Iran merujuk kejadian itu sebagai kemalangan.

Siasatan kemalangan pesawat adalah rumit, memerlukan pengawal selia, pakar dan syarikat merentasi beberapa bidang kuasa antarabangsa untuk bekerjasama.

Mengeluarkan laporan awal dalam masa 24 jam jarang berlaku kerana ia boleh mengambil masa beberapa bulan untuk menentukan sepenuhnya punca kejadian.

Sumber keselamatan Kanada memberitahu Reuters terdapat bukti bahawa salah satu enjin terlalu panas.

Kemalangan itu berlaku beberapa jam selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq, menyebabkan timbul spekulasi kemungkinan pesawat malang itu terkena bedilan.

Penumpang yang terlibat dalam kemalangan itu terdiri daripada 146 rakyat Iran, 10 Afghanistan, 11 Ukraine, lima Kanada, empat Sweden dan beberapa warga negara lain. – MalaysiaGazette