Home Ekonomi AirAsia tawar penerbangan Pulau Pinang-Chengdu

AirAsia tawar penerbangan Pulau Pinang-Chengdu

Deretan pesawat Air Asia di klia2, Sepang. foto MALAYSIA GAZETTE

KUALA LUMPUR- AirAsia menawarkan penerbangan tiga kali seminggu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke Chengdu di wilayah Sichuan, China.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, pengumuman laluan baharu sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Pulau Pinang 2020.

Pulau Pinang, katanya, adalah salah satu hab terbesar syarikat penerbangan tambang murah itu di semenanjung yang mana mereka telah menerbangkan lebih daripada 2.4 juta penumpang tahun lepas.

Ini juga menurut Riad adalah lalu pertama AirAsia dari Pulau Pinang ke Tanah Besar China.

Bagi meraikan laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang termasuk semua untuk penumpang dari Pulau Pinang ke Chengdu bermula daripada RM99 dan boleh ditempah melalui laman web airasia.com serta aplikasi mudah alih AirAsia bermula hari ini sehingga 19 Januari 2020 bagi perjalanan antara 8 dan 28 Mac 2020. N

Terkenal sebagai ‘rumah’ kepada panda gergasi, Chengdu adalah sebuah bandar yang berkembang pesat dengan pelbagai aktiviti menarik.

Selain pemandangan semula jadi,  ia juga kaya dengan warisan kebudayaan dan tempat-tempat bersejarah, dan beberapa tarikan lain yang harus dikunjungi termasuk Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Giant Panda Chengdu, Jinli Ancient Street, Leshan Giant Buddha dan Biara Wenshu, katanya.

Dinamakan oleh UNESCO sebagai “Kota Gastronomi”, Chengdu menawarkan pelbagai hidangan Cina yang popular seperti Tauhu Mapo dan Ayam Kung Pao berasal dari kawasan yang sama.

Pelancong juga boleh bersantai sambil menikmati teh beraroma di rumah teh tempatan.

Chengdu juga merupakan pintu masuk ke wilayah barat China, termasuk Tibet di mana ibu kotanya, Lhasa adalah rumah kepada pusat sejarah Buddhisme Tibet dan Istana Potala yang terkenal; serta Tapak Warisan Dunia Unesco Jiuzhaigou, salah satu pemandangan yang indah di China.

Selain dari Chengdu, AirAsia kini terbang ke 12 destinasi dari hab Pulau Pinang seperti Bangkok, Bandar Ho Chi Minh, Surabaya, Jakarta, Medan, Singapura, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Langkawi, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching.- MalaysiaGazette