Home Dunia Barat dakwa peluru berpandu Iran bedil pesawat Ukraine

Barat dakwa peluru berpandu Iran bedil pesawat Ukraine

LONDON – Para pemimpin barat tidak menolak kemungkinan peluru berpandu Iran menyebabkan kapal terbang milik Ukraine terhempas.

Sehubungan itu, pemimpin Kanada dan United Kingdim menuntut siasatan menyeluruh berhubung insiden yang mengorbankan 176 orang penumpang.

Sebelum ini Iran menolak dakwaan bahawa pelancaran peluru berpandunya punca nahas tersebut.

Pesawat itu terhempas selepas beberapa jam Iran melepaskan tembakan ke atas dua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq.

Media AS membuat spekulasi bahawa tragedi itu berlaku kemungkinan Iran menyangka kapal terbang itu adalah jet pejuang AS dan Iran bertindak menembaknya.

CBS News memetik sumber perisikan AS sebagai berkata, satelit mengesan “blips” inframerah dua pelancaran peluru berpandu, diikuti dengan satu lagi letupan.

Sementara itu, Newsweek memetik Pentagon dan pegawai perisikan kanan AS, serta pegawai perisikan Iraq, sebagai berkata, mereka percaya pesawat Ukraine International Airlines PS752 terkena peluru berpandu Tor buatan Rusia.

Presiden Donald Trump berkata, beliau ragu-ragu dengan apa yang berlaku ke atas pesawat Ukraine itu.

Iran berkata, negara itu tidak akan menyerahkan kotak hitam pesawat berkenaan kepada Boeing atau AS.

Tetapi, Menteri Luar Iran mengundang Boeing untuk mengambil bahagian dalam siasatan tragedi itu. – MalaysiaGazette