KIMANIS – Tindakan 57 ahli Barisan Nasional (BN) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandau yang mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) semalam sebenarnya hanya satu penipuan dan fitnah.
Ketua PDM Bandau, Nurliza Abdullah menegaskan, sebenarnya yang keluar parti itu hanya melibatkan lima individu iaitu Razali Daud bersama ahli keluarganya.
“Sebenarnya itu adalah fitnah, beliau keluar bersama isteri dan anak-anak saja, lebih kurang lima orang sahaja.
“Yang keluar 57 orang itu sebenarnya tidak benar, jentera-jentera kami masih ada di belakang.
“Itu adalah fitnah semata-mata untuk melemahkan kami di PDM Bandau,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di PDM Bandau, Membakut, di sini, hari ini.
Semalam, Razali yang mendakwa dirinya sebagai ketua PDM Bandau bersama 57 ahli BN kawasan itu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai Warisan kerana telah hilang keyakinan kepada BN.
Menurut Razali, keputusan itu dibuat susulan ketidakpercayaan terhadap BN selain tidak berpuas hati dengan pimpinan BN kerana sering meminggirkan mereka sejak berada bersama BN.
Dalam pada itu, Nurliza juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa PDM Bandau yang sekarang tular ditutup sambil menegaskan berita itu sebenarnya itu adalah fitnah.
“Kami di PDM Bandau masih lagi beroperasi dengan bantuan UMNO Bahagian Batu Sapi, Tenom dan Majlis Tertinggi UMNO dari Kuala Lumpur,
“Kami kukuh. Sebenarnya yang tutup itu sub markas saja dan ia sebenarnya tidak diiktiraf kerana belakang Razali adalah orang Warisan, iaitu abangnya sendiri.
“Kami sudah jangka adalah satu permainan Warisan,” katanya.
Nurliza turut tidak menolak kemungkinan isu PDM Bandau ditutup sudah dirancang dari awal untuk memburukkan BN.
“Memang kami sudah jangka beliau sudah buat perancangan ini dari awal sebab di belakang Razali Daud ialah abang dia sendiri, iaitu orang kuat Warisan
“Tidak dinafikan ini adalah perancangan calon Warisan, Datuk Karim Bujang,” katanya.
Katanya lagi, beliau hairan apabila banyak mengambil kesempatan ketika musim pilihan raya termasuk menggunakan politik wang untuk meraih sokongan.
“Tidak dinafikan sekarang ini ramai yang mencari (peluang), ramai orang menjala ikan dan memasang pukat.
“Saya tak menafikan bahawa beliau sedang mencari kesempatan di situ. Janganlah kerana nyamuk seekor kelambu kamu bakar.
“Katak melompat, berudu tak akan melompat sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette