KUALA LUMPUR – Dari era 90-an sehingga kini, muzik hip hop di Malaysia mengukuhkan tempatnya dalam arena muzik tempatan.
Arena hip hop tempatan tidak pernah ketandusan bakat malah semakin berkembang dekad 2010-an dengan kemunculan bakat-bakat baru dan pelbagai karya bereksprimentasi merentasi sempadan genre.
Bagi rapper, komposer dan penerbit, Kmy Kmo dan Luca Sickta, karya mereka bukan sekadar sajian untuk halwa telinga malah menjadi wadah merangsang minda pendengar atau lidah kritikan sosial.
Kali terakhir muncul dengan single Gong Nekara pada tahun lalu yang menjadi bualan penggemar hip hop tempatan yang mendakwa lagu itu merupakan disc track yang ditujukan kepada rapper terkenal Altimet.
Kini duo itu muncul pula dengan taruhan terbaru mereka berjudul Zuhud yang turut menampilkan seniman terkenal Datuk M.Nasir.
Seniman itu sebelum ini pernah mengkritik industri muzik tempatan bahawa lagu-lagu ciptaan masakini terlalu mengejar pendengar sehingga kurang kreatif dan tiada lagi ada nilai eksperimen.
Pastinya, kesudian figura muzik terkenal ini untuk berkolaborasi dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi Zuhud menjanjikan lagu ini mempunyai nilai estetik tersendiri.
Kebijakan Kmy Kmo dan Luca Sickta bereksperimentasi dalam muzik menjadikan mereka antara pejuang seni rap intelektual Melayu dalam dunia hip hop tempatan.
Menerusi konsep ritma atas puisi, karya ciptaan mereka sarat dengan tradisi kemelayuan daripada segi bunyi dan bahasanya.
Zuhud merupakan hasil ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta bersama M.Nasir. Lagu yang mendapat sentuhan Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf selaku penerbit rakaman, menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gamelan yang sememangnya memanggil perhatian pendengar.
Dihiasi dengan lirik bak puisi, dilisankan secara rap dengan penuh gaya oleh duo ini dan disyairkan dengan penuh jiwa oleh M.Nasir – Zuhud merupakan sebuah karya yang muziknya mampu menghantui halwa telinga pendengar manakala senikatanya mampu menjentik minda pendengar.
Judul dan lirik lagu ini mengangkat sebuah konsep yang sinonim dalam Islam, Zuhud iaitu untuk tidak meletakkan kepentingan kepada dunia semata-mata tetapi lebih mengutamakan alam akhirat dalam kehidupan sehari-hari.
Mengulas tentang lagu ini, Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim berkata, pihak cuba menerapkan mesej tersirat dan tersurat menerusi karya mereka.
“Zuhud merupakan pesanan kami kepada semua pendengar untuk tidak angkuh dengan apa yang kita miliki di dunia kerana itu semua hanya bersifat sementara, dan berbaliklah kepada matlamat utama kita iaitu mencapai bahagia di alam akhirat.
“Saya dan Luca bersyukur kerana lirik Zuhud yang ditulis sepenuhnya oleh kami ini diterima baik oleh M.Nasir.
“Ianya merupakan suatu penghormatan buat kami kerana berpeluang berkolaborasi dengan lagenda muzik terkenal tanahair,” katanya.
Bagi memberi lebih impak kepada lagu ini, video muzik rasmi Zuhud turut dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia sebagai pendamping visual kepada lagu ini. Video muzik yang dibintangi pelakon terkenal Azri Iskandar ini mampu mengundang keinsafan kepada penonton apabila memaparkan terjemahan visual maksud lirik lagu Zuhud.
Video muzik arahan Yussuf Yunus dari produksi Cinemalaya Studios Sdn Bhd ini sudah mencapai lebih 192,000 ribu tontonan sejak dilancarkan pada 20 Disember lalu.
Single terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universal Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 20 Disember lalu.
Video muzik rasmi boleh ditonton saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak tarikh sama. – MalaysiaGazette