Home Nasional Ambil tindakan terhadap Haziq? Saya tak mahu campur urusan pihak berkuasa –...

Ambil tindakan terhadap Haziq? Saya tak mahu campur urusan pihak berkuasa – Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2020

GOMBAK – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan beliau secara peribadi dari awal lagi yakin kebenaran berpihak kepadanya.

Sambil mengucapkan rasa syukur dengan pengumuman Peguam Negara, Tommy Thomas, katanya, beliau dan keluarga telah melalui satu tempoh yang panjang pemfitnahan pihak tertentu.

“Kita sebagai umat Islam, hamba Allah bila ada berita gembira, kita menyatakan rasa syukur kepada Allah, dan saya secara peribadi dan keluarga juga merasa amat gembira serta syukur di atas pengumuman Peguam Negara baru-baru ini.

“Sudah tentulah saya melalui satu tempoh yang agak panjang melalui ujian yang getir ini, tetapi Alhamdulillah, saya yakin dari awal lagi bahawa ini adalah satu percaturan politik yang amat kejam dan tidak baik bagi negara.

“Namun, saya bersedia melalui proses yang telah dijalankan dan Alhamdulillah, hari ini pihak berkuasa Khususnya Peguam Negara telah menyatakan bahawa Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mencadangkan tidak ada kes petruduhan ke atas saya,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendukung memangku cucunya, Farah Inayah Rose Muhammad Syaqib, 2, sambil beramah mesra dengan tetamu Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2020

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis kesyukuran dan doa selamat di Masjid Jamek Al-Amaniah Batu Caves, di sini, malam ini.

Ditanya adakah beliau mahu mengambil tindakan ke atas Haziq Abdullah Abdul Aziz, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, tidak akan mencampuri urusan pihak berkuasa.

“Saya hanya menyatakan rasa syukur di atas pengumuman Peguam Negara dan saya telah menyatakan saya secara peribadi dari awal lagi yakin bahawa akhirnya kebenaran berpihak pada saya,” katanya.

Ditanya apa yang dilakukan selepas ini, Mohamed Azmin berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada kerja dan tugas yang telah diberikan kepadanya.

Katanya, tahun 2020 ini merupakan tahun yang amat penting bagi Malaysia sebagai tuan rumah APEC yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.

“Sudah tentulah semua pihak pimpinan negara sedang bertungkus lumus menyiapkan persiapan terbaik untuk menjadi tuan rumah APEC. – MalaysiaGazette