Home Ekonomi Projek mega pacu pertumbuhan ekonomi tahun ini

Projek mega pacu pertumbuhan ekonomi tahun ini

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang secara mampan pada kadar 4.7% pada tahun 2019, sebelum memecut kepada kadar 4.8% bagi tahun ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2020 akan disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur besar, iaitu Lebuhraya Pan-Borneo, LRT3, MRT2 dan ECRL yang berjumlah RM120 bilion, Bandar Malaysia yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion dan inisiatif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta.

Selain itu, program #MalaysiaKerja bernilai sebanyak RM6.5 bilion bagi tempoh lima tahunyang akan menyediakan 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur dengan pemberian insentif gaji RM500 sebulan dan pemberian insentif majikan sebanyak RM300 sebulan bagi syarikat yang mengambil pekerja tempatan.

Menurutnya, Ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih pesat pada tahun 2020 berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan yang naik kepada paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan.

Di samping itu, kerajaan akan memperbanyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan belia, graduan baharu dan wanita melalui program #MalaysiaKerja bernilai sebanyak RM6.5 bilion dan pelaksanaan projek-projek infrastruktur bernilai RM120 bilion.

PMI sektor pembuatan Malaysia naik 0.5 mata kepada 50.0 bagi bulan Disember 2019 yang merupakan paras tertinggi dalam tempoh 15 bulan.

Sebelum ini pada bulan November 2019, PMI pembuatan meningkat 0.2 mata kepada 49.5 daripada 49.3 mata pada bulan Oktober 2019.

Peningkatan bacaan PMI ini menunjukkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pesat dalam beberapa bulan terdekat, kata Guan Eng.

Menurutnya, penunjuk lain menyokong bacaan PMI yang positif ini dengan Jabatan Perangkaan Malaysia
baru-baru ini menerbitkan penunjuk pelopor ekonomi bagi bulan Oktober 2019 yang naik 1.4% kepada 120.3 mata berbanding 118.6 mata pada bulan September 2019.

Ini adalah peningkatan yang besar berbanding perubahan -0.4% dan 0.3% masingmasing bagi bulan Ogos dan September 2019.

Trend Indeks Keyakinan Perniagaan RAM juga menyokong unjuran positif yang ditunjukkan oleh data PMI dan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Tambahnya, agensi penarafan kredit tempatan RAM menyatakan bahawa sentimen dalam kalangan syarikat Malaysia sedang beransur pulih apabila keyakinan korporat naik 3.2 mata kepada 56.4 untuk tempoh suku pertama kepada suku kedua 2020 (1Q20-2Q20) berbanding tempoh suku keempat 2019 kepada suku pertama 2020 (4Q19-1Q20).

Pada masa yang sama, keyakinan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (SME) meningkat 1 mata
kepada 54.2, iaitu paras tertinggi sejak indeks tersebut mula diterbitkan pada tahun 2017. – MalaysiaGazette