NARATHIWAT – Keadaan ekonomi yang lembab di selatan Thailand memberi kesan mendalam kepada kehidupan penduduk yang tinggal di tiga daerah berkenaan.
Landskap perniagaan menjadi lemah tidak seperti dahulu ekoran kurangnya jumlah pengunjung ke pasar-pasar untuk membeli-belah terutamanya mereka yang datang dari negara jiran, Malaysia.
Perkara itu terjadi ekoran mereka sering dimomokkan dengan berita-berita ancaman pengganas daripada puak pemisah menerusi konflik yang berlaku di tiga daerah terbabit tanpa mengira waktu.
Akibatnya, pelancong bimbang untuk datang kerana merasa tidak selamat hingga memberi kesan langsung terhadap ekonomi di selatan Thailand.
Perkara itu turut diburukkan lagi apabila harga komoditi seperti getah yang menjunam hingga memberi kesan terhadap kuasa beli penduduk yang rata-ratanya bukan berpendapatan tinggi.
Bagi meneruskan kelangsungan hidup, penduduk di tiga wilayah itu terutamanya kaum hawa terpaksa melakukan lebih daripada kerja dalam usaha membantu suami masing-masing mendapatkan pendapatan sampingan.
Samsiah Ahmad, 46, yang merupakan antara wanita gigih mengabdikan 15 tahun daripada hidupnya untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan di stesen kereta api di Yala.
Banyak atau tidak rezeki yang diterimanya sebagai peniaga bergantung kepada naik turun harga getah di pasaran serta jualan makanannya di stesen keretapi itu.
Katanya, menjual makanan ringan di stesen berkenaan merupakan satu daripada cara dia menambah pendapatan keluarganya yang mana dia dan suaminya merupakan penoreh getah.
Ujar, harga getah yang sangat rendah pada ketika ini menyukarkan dia dan suaminya untuk menyediakan keperluan lengkap kepada anak-anak yang masih bersekolah.
“Sekarang ini harga getah murah, jadi saya terpaksa menjual makanan di stesen keretapi ini untuk tambah pendapatan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun dia berkata, dugaan terpaksa diharungi apabila kadang kala jualannya tidak laku walaupun terpaksa berjam-jam membuang masa menunggu pelanggan di situ.
Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, ibu berusia 46 tahun itu sering merungut ekoran berdepan kesukaran untuk mendapatkan rezeki.
Insiden keganasan baharu di beberapa tempat di selatan thailand, tanpa terkecuali di Yala memburukkan lagi keadaan ekonomi penduduk di daerah tersebut.
Senada dengannya, Lisawati Abdullah, 31, juga peniaga kecil-kecilan di stesen kereta api di Yala turut mengalami nasib sama.
Katanya, tiada apa yang mahu diminta kepada kerajaan kecuali membenarkannya dan rakan-rakan berniaga dengan aman serta mengharapkan agar ekonomi keluarga dapat diperkasa.
Sementara itu, Timbalan Gabenor Narathiwat, Patimoh Sadiyamu berkata, kerajaan menggalakkan pendekatan ekonomi bagi menyelesaikan masalah dan membangunkan wilayah sempadan selatan itu bagi meningkatkan kualiti hidup dan mewujudkan keamanan berkekalan.
Katanya, tiga wilayah berkenaan akan menjadi segi tiga ekonomi seperti dirancang dan kejayaan itu pasti akan mengubah keadaan sosioekonomi penduduk, selain pembangunan pendidikan kepada generasi baru juga amat penting supaya mereka dapat membezakan perkara baik dan buruk.
“Jika ada yang mengatakan penduduk di tiga wilayah ini sebagai rakyat kelas kedua, ia tidak benar.
“Kita perlu menjauhi pemikiran seperti itu kerana kerajaan tidak membezakan sesetengah rakyat kerana kesemuanya dianggap sama,” katanya ketika ditemui dalam satu majlis makan malam di sini, malam tadi.
Selain itu Patimoh berkata, walaupun keadaan di tiga wilayah berkenaan belum aman sepenuhnya namun, hasrat itu boleh dicapai jika itu yang dimahukan penduduk.
“Apa yang penting, pemikiran seperti yang ada sekarang perlu diubah dan generasi baru akan dididik supaya kekal menghayati keamanan selain teguh kepada ajaran Islam,” ujarnya yang telah berkhidmat kira-kira 25 tahun dalam kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Patimoh yang juga naib gabenor wanita tunggal beragama Islam di Thailand berkata, apa yang beliau mahu laksanakan sekarang adalah supaya setiap jabatan kerajaan di tiga wilayah berkenaan seboleh-bolehnya diisi sehingga 50 peratus oleh penduduk beragama Islam.
Beliau turut menggesa agar golongan wanita di selatan Thailand diperkasakan dengan ilmu kerana hanya dengan cara itu ia mampu menjadi jambatan dalam memperksakana golongan hawa di tiga daerah berkenaan supaya menjadi mampan. – MalaysiaGazette