KUALA LUMPUR – Biarpun hampir dua tahun Pakatan Harapan (PH) menerajui Sabah dan Kerajaan Persekutuan, ekonomi bukan sahaja kekal lembap, tetapi merosot.
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah perlahan mendadak dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 1.5% pada tahun 2018, paling rendah dalam tempoh hampir 10 tahun.
Meskipun, PH dan Warisan membuat pelbagai janji sebelum pilihan raya umum ke-14, ikrar untuk meringankan beban rakyat apabila memenangi pilihan raya tetapi janji untuk mengurangkan harga minyak masih diabaikan.
Malah, hampir 100 barangan menyaksikan kenaikan harga susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pengerusi Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong berkata, satu demi satu bantuan dan kebajikan kepada golongan kurang bernasib baik telah ditarik balik.
Projek Lebuhraya Pan Borneo juga dalam keadaan tidak menentu.
“Sejak PH berkuasa, ekonomi semakin susut ketika pasaran mengalami kelembapan. Pendapatan rakyat juga tidak naik, sedangkan beban hidup terus meningkat,” katanya sambil mengingatkan tentang ikrar kerajaan untuk membayar balik 20 peratus royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak yang masih tidak ada perkembangan lanjut.
Pamela juga mendakwa PH tidak menghormati janji dibuat dengan memberi pelbagai alasan telah mengecewakan penduduk Sabah kerana tanpa dana benefisiari untuk membangunkan ekonomi negeri telah menyebabkan pertumbuhan Sabah terjejas.
Jelasnya, Warisan tidak mempunyai daya untuk memperjuangkannya rakyat Sabah yang diketepikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, walaupun Pilihan Raya Kecil Kimanis bukan boleh mengubah kerajaan, rakyat harus merebut peluang keemasan ini untuk menyuarakan suara mereka kepada kerajaan melalui kotak undi.
“Sikap pragmatik harus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kehidupan rakyat, merangka pelan jangka panjang dan pelan pembangunan ekonomi yang lengkap untuk membebaskan Malaysia dan Sabah daripada kemelesetan ekonomi.
“Oleh itu, untuk mencapai matlamat ini, rakyat mesti mempunyai Ahli Parlimen pembangkang yang kuat. Pemantauan, periksa dan imbang kerajaan bermula dengan Pilihan Raya Kecil Kimanis,” katanya. – MalaysiaGazette