Home Ekonomi Etiqa perkenal pelan stand-alone penyakit kritikal termasuk sakit mental

Etiqa perkenal pelan stand-alone penyakit kritikal termasuk sakit mental

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Etiqa memperkenalkan pelan stand-alone AafiahCare, pelan takaful untuk penyakit kritikal yang pertama di Malaysia yang merangkumi 68 jenis penyakit termasuk perlindungan bagi penyakit mental.

Dalam satu kenyataan di sini, syarikat tersebut berkata, mereka memahami peningkatan keperluan untuk menyediakan perlindungan penyakit mental berdasarkan kepada perkembangan yang membimbangkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, sejumlah  29.2 peratus rakyat Malaysia menderita penyakit mental atau 4.2 juta individu telah dikenal pasti.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan dua digit di antara 1996 dan 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Bhd., Zafri Ab Halim berkata, terdapat peningkatan permintaan terhadap rider penyakit kritikal (IL CI Plus) dengan perlindungan terhadap penyakit mental sebanyak 20 peratus dalam tempoh sebulan sejak ia dilancarkan.

“Kos rawatan untuk penyakit mental boleh menjadi sangat mahal untuk dirawat, dan ia bukanlah sebuah penyakit yang mudah dan cepat untuk disembuhkan.

“Kami terdorong dengan maklum balas yang diterima, dan mengambil kira permintaan untuk produk Penyakit Kritikal stand-alone, Etiqa dengan bangganya memperkenalkan AafiahCare yang sejajar dengan prinsip-prinsip berlandaskan Pengantaraan Berasaskan Nilai atau Value Based Intermediation (VBI) untuk menyumbang kepada rakyat, bumi dan kemakmuran,” katanya.

AafiahCare Etiqa melindungi empat jenis penyakit mental iaitu Gangguan Bipolar Afektif; Gangguan Kemurungan Utama; Schizophrenia dan Gangguan Schizoafektif

Jelas Zafri, Selagi pelanggan tersebut diterima oleh Etiqa, semua pelanggan yang layak boleh mendapatkan perlindungan yang tertakluk kepada proses pengunderaitan biasa.

Jumlah perlindungan penyakit mental adalah di antara RM7,500 dan RM30,000 bergantung kepada jumlah keseluruhan pelan perlindungan.

Apa yang paling menguntungkan para peserta adalah Etiqa tidak menentukan bagaimana jumlah tersebut bakal digunakan.

Oleh itu para peserta boleh menggunakannya untuk perbelanjaan yuran perundingan, ubat-ubatan, atau kemasukan ke hospital, mengikut keperluan mereka.

Tambahan pula, AafiahCare mempunyai ciri-ciri perlindungan penyakit mental sebagai manfaat tambahan yang tidak mengurangkan jumlah perlindungannya.- MalaysiaGazette