Home Seni Hidup Jaclyn Victor bercerai

Jaclyn Victor bercerai

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Jaclyn Victor sah bercerai dengan suaminya, Shawn Rivera selepas lima tahun berkahwin.

Berita sedih itu diumumkan sendiri oleh Rivera yang juga vokalis kumpulan R&B antarabangsa terkenal era 1990-an, AZ Yet.

“Ia bukan proses yang mudah untuk mengambil keputusan ini. Kami sudah cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan perkahwinan.

“Namun tinggal berasingan lebih daripada setahun menyebabkan kami gagal menyesuaikan dengan keadaan,” tulisnya di Instagram.

Namun, Rivera enggan mendedahkan alasan perceraiannya dengan penyanyi lagu Gemilang itu.

Dia sebaliknya berkata, biarlah mereka saja yang tahu kemelut berlaku.

“Ketepikan khabar angin dan spekulasi, hanya dua insan yang berada dalam hubungan ini mengetahui kebenarannya.

“Tak perlu kami buka pekung di dada atau memburuk-burukkan satu sama lain kerana ia hanya akan menjejaskan anak-anak,” katanya.

Menurut artis berasal dari Philadelphia, AS itu, walaupun berpisah, mereka sekali-kali tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak.

“Kami akan kekal komited melakukan yang terbaik buat kedua-dua anak kami supaya mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.

“Apapun yang berlaku, saya tetap menyayangi Jonah dan Molly. Melihat senyuman mereka, terubat segala rasa sedih,” katanya yang pada masa sama meminta agar diberikan ruang untuk berdepan perceraian tersebut.

Pasangan selebriti itu berkahwin di sebuah gereja di Philadelphia pada 19 Julai 2014.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3. – MalaysiaGazette