BONGAWAN – Walaupun pengundi Cina di Kimanis hanya sekitar 1,000 orang, namun MCA tidak pernah memandang ringan.
MCA akan bekerja keras sehingga saat akhir untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Mohamad Alamin.
“MCA Sabah memberi sokongan penuh kepada calon BN di PRK Kimanis Datuk Mohamad Alamin.
“Kami bukan sahaja akan memastikan supaya ahli-ahli MCA di kawasan Parlimen Kimanis mengundi calon BN, tetapi juga akan berkempen untuk menggerakkan pengundi-pengundi Cina di Kimanis untuk mengundi beliau,” kata Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.
Menurutnya, selain pemimpin-pemimpin tempatan dari Sabah, pemimpin-pemimpin dari MCA pusat juga turun padang bertungkus lumus untuk berkempen bersama calon BN, untuk memastikan kemenangan BN dalam PRK Kimanis ini.
Tegas beliau, kemenangan BN dalam PRK Kimanis adalah amat penting untuk memperkuatkan suara pembangkang dari Sabah, terutamanya suara BN untuk semak dan imbang pentadbiran kerajaan, demi hak dan kepentingan orang Sabah. – MalaysiaGazette