Home Politik Pas ekstrem: Semua orang boleh sebut tapi tiada bukti – Ahmad Samsuri

Pas ekstrem: Semua orang boleh sebut tapi tiada bukti – Ahmad Samsuri

Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar beramah mesra bersama penduduk ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pasar Tamu Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2020

KIMANIS – Parti Islam SeMalaysia (Pas) tidak pernah dikenakan seberang tindakan mahkamah lebih-lebih lagi melibatkan isu keganasan mahupun tindakan ekstrem.

Naib Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, tindakan Parti Warisan Sabah (Warisan) menuduh Pas tidak sesuai di Sabah ekstrem sebenarnya hanya retorik semata-mata.

“Semua orang boleh menyebut retorik (Pas ekstrem) tapi tak disertakan dengan apa-apa bukti. Ia bertentangan dengan konsep demokrasi.

“Pas berdaftar secara sah dalam Perlembagaan Malaysia dan tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan ekstrem,” katanya kepada pemberita di Pekan Membakut, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Pas tidak sesuai untuk rakyat Sabah kerana sering menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.

Aiman Athirah menegaskan, rakyat Sabah dan Sarawak sangat unik dalam soal agama dan perjuangan Pas boleh mengancam keharmonian sedia ada.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, serangan seumpama itu kepada Pas bukan perkara baharu bahkan ia sering digempar-gemburkan setiap kali pilihan raya.

“Saya rasa itu adalah lumrah berlaku setiap kali pilihan raya tapi tidak pernah dapat dibuktikan dalam mana-mana mahkamah yang membuat pengadilan

“Saya rasa itu adalah sebahagian daripada retorik pilihan raya yang diamalkan oleh parti lawan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette