KUALA LUMPUR – Pemikiran kumpulan bekas penjawat awam, G25, secara keseluruhan bertujuan membuang agama daripada kehidupan manusia dan membuang agama daripada pengurusan bernegara, dakwa Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, ia adalah pemikiran yang bahaya dan sesat bagi umat Islam.
Katanya, sebaran pemikiran mereka juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.
Tambah beliau, ia juga bercanggah dengan undang-undang negeri-negeri dalam Malaysia yang memperuntukkan hak dan kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman dunia terhadap pesalah-pesalah agama.
“Kerajaan Persekutuan dan juga negeri di mana pemikiran mereka disebar dan diwacanakan perlu segera bertindak terhadap kumpulan ini yang dilihat semakin berani mempromosi pemikiran songsang mereka,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan G25 mengkritik undang-undang murtad di Malaysia dengan menyatakan keputusan seorang Islam yang keluar daripada agama itu, ia merupakan urusan antara individu dengan Tuhan dan tidak ada hukuman duniawi yang diperuntukkan dalam al-Quran.
Menerusi laporan bertajuk ‘Perkara Pentadbiran Mengenai Islam’, kumpulan berkenaan berkata, terdapat hukuman menerusi undang-undang negeri berhubung perbuatan murtad dan ia tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
Mohd Khairuddin mendakwa, kumpulan bekas penjawat awam kanan itu sedang bergerak mempromosi pemikiran yang merosakkan aqidah, syariat dan akhlak umat Islam meskipun anggotanya terdiri di kalangan orang yang mengaku Islam.
Katanya, pendirian mereka yang menolak tindakan dan hukuman dikenakan kepada pesalah yang melanggar hukum agama Islam adalah jelas sesat dan tersasar.
Dakwanya, ia lahir daripada keyakinan yang salah dan songsang terhadap hakikat sebenar agama Islam yang menjadi agama bagi negara Malaysia menurut Perlembagaan.
“Agama Islam bukan hanya agama yang mengandungi hukum-hakam dan peraturan yang melibatkan pahala dan dosa yang dihukum di akhirat tetapi ia adalah agama yang mencakupi undang-undang melibatkan kehidupan manusia yang dikenakan tindakan dan hukuman di dunia.
“Islam menetapkan bahawa mengambil tindakan dan hukuman atas kesalahan berlandaskan hukum agama itu adalah kewajipan dan tanggungjawab mereka yang berkuasa dalam sesebuah negara dan negeri bagi menjamin dan memelihara keselamatan agama, nyawa, jasad, harta, maruah dan akal rakyat,” katanya.
Tambah beliau, persetubuhan luar nikah dan minum arak sebagai contoh adalah kesalahan agama dan jenayah yang mesti dikenakan hukuman di dunia bukan hanya di Akhirat bagi menjamin kesucian nasab dan kesejahteraan akal manusia.
Katanya, j enayah membunuh, mencederakan, mencuri dan merompak adalah kesalahan agama yang mesti dikenakan hukuman di dunia bagi menjamin keselamatan nyawa, jasad dan harta manusia. – MalaysiaGazette