Home Nasional PSS undang Tanduo 2.0: Menteri Dalam Negeri perlu bertanggungjawab

PSS undang Tanduo 2.0: Menteri Dalam Negeri perlu bertanggungjawab

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah) berbual mesra bersama peniaga ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Pasar Tamu Membakut, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2020

KIMANIS – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bertanggungjawab kerana mempertahankan keputusan kerajaan untuk memberikan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang tanpa izin.

Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa apabila Muhyiddin cuba menyembunyikan implikasi sebenarnya pelaksanaan PSS seperti mana yang berlaku dalam tragedi Tanduo pada 2013.

“Saya tengok agak terdesak kerana kalau projek-projek BN dahulu yang mereka batalkan atau tidak teruskan, tak pernah dia beri kredit kepada kita.

“Tapi perkara-perkara yang dia sendiri laksanakan, tak dapat diterima oleh orang ramai dituduh kita mulakan. Pendirian mereka tak konsisten.

“Kalau dia kata PSS ini tak ada kaitan dengan isu keselamatan, saya kecewa. Kita tahu bahawa ancaman serta kedudukan keselamatan Sabah ini, jangan kita ambil mudah.

“Kalau dia ambil mudah, bermakna dia tidak bertanggungjawab sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat walkabout di Tamu Membakut, hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam sidang media menafikan dakwaan Hishammuddin bahawa pemberita kad PSS boleh menyebabkan kes pencerobohan di Lahad Datu berulang.

Menurut Muhyiddin, isu keselamatan tidak timbul kerana PSS bukan satu usaha untuk memberi kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin.

Sebaliknya PSS bertujuan untuk menambah baik pemberian tiga dokumen kepada warga asing sebelum ini termasuk IM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci. – MalaysiaGazette