Home Seni Hidup Taj Mahal Thailand lambang penyatuan masyarakat Islam

Taj Mahal Thailand lambang penyatuan masyarakat Islam

Reka bentuk yang menarik Masjid Jamek Pattani menjadikan tarikan utama pelancong mahupun penduduk sekitar untuk pergi ke masjid tersebut di Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2020,

PATTANI – Masjid Jamek Pattani yang mendapat jolokan Taj Mahal menjadi simbol kepada penyatuan masyarakat Islam di daerah selatan Thailand.

Mempunyai persamaan dengan bangunan yang memiliki simbol cinta di India, masjid dipanggil Taj Mahal Thailand dalam kalangan masyarakat setempat itu mengambil masa selama sembilan tahun untuk disiapkan dan dibina pada tahun 1954.

Sememangnya bangunan masjid itu mempunyai seni bina yang menarik dengan memiliki sebuah kubah besar dan dikelilingi empat lagi kubah yang lebih kecil serta dua menara.

Masjid berkenan turut mempunyai ruang yang besar serta koridor panjang sebagai kemudahan kepada jemaah yang hendak beribadat.

Ruang dalam Masjid Jamek Pattani di Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2020,

Di Pattani, sebuah lagi masjid yang menjadi ikon kepada masyarakat Islam di daerah berkenaan ialah Masjid Kerisik atau dikenali sebagai Masjid Krue Se.

Bangunan itu berdiri gah dengan disokong tiang bulat bagi mempamerkan gaya seni bina Asia Barat dan satu ciri penting ialah bumbung berkubah yang tidak pernah selesai pembinaannya.

Masjid itu dikatakan dibina sewaktu pemerintahan Raja Naresuan Besar (1578-1593) dan berdasarkan cerita legendanya, Ko Lim Chiao, seorang gadis China datang ke Pattani dengan menaiki kapal untuk melihat abangnya yang sudah berkahwin dengan anak perempuan Gabenor Pattani.

Abangnya dikatakan sudah memeluk agama Islam dan ketika proses pembinaan Masjid Krue Se berjalan.

Disebabkan Lim Chao tidak berjaya membawa abangnya pulang ke kampung halaman, selepas meletakkan sumpah menghalang bumbung masjid selesai, dia dikatakan menggantung dirinya di pokok berhampiran masjid dan abangnya dikebumikan di tempat yang sama.

Meskipun cerita legenda itu tidak dapat disahkan, namun pembinaan masjid yang tidak selesai hingga sekarang secara tidak langsung dipercayai mempunyai kaitan dengan sumpahan itu.

Sebuah lagi masjid di selatan Thailand yang turut mempunyai sejarahnya yang tersendiri ialah Masjid Wadil Husen atau dikenali Majid Teluk Manok berusia 300 tahun turut menjadi sebuah lagi destinasi yang sering dikunjungi orang luar.

Masjid yang dibina tanpa menggunakan sebarang paku itu mempunyai struktur yang kukuh dengan keaslian seni binanya tidak saja mampu memikat hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Diperbuat daripada kayu, bangunan masjid itu masih kelihatan utuh secara tidak langsung membuktikan pengaruh agama Islam telah hidup lama di bumi itu.

Reka bentuk yang menarik Masjid Jamek Pattani menjadikan tarikan utama pelancong mahupun penduduk sekitar untuk pergi ke masjid tersebut di Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2020,

Terdapat beberapa bahagian masjid yang menarik, antaranya tempat muazzin melaungkan azan yang terletak di bahagian paling atas dalam masjid.

Berdasarkan sejarah, masjid berkenaan dibangunkan pada awal abad ke-17 pada zaman kerajaan Pattani.

Bagi pengunjung luar terutamanya dari Malaysia amat mudah untuk tiba di masjid itu kerana dari daerah Bacho, akan ada papan penunjuk arah yang membantu mereka tiba di masjid bersejarah berkenaan.

Dengan melalui perjalanan beberapa puluh minit dari jalan besar dan lorong kecil antara ladang dan sawah, pelancong akan disambut dengan bangunan unik yang mempunyai seni bina campuran Thailand, Melayu, dan China itu. – MalaysiaGazette