Home Nasional Tawarkan lebih banyak produk dalam bentuk pakej

Tawarkan lebih banyak produk dalam bentuk pakej

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman (tengah) dan Pengarah Zoo Taiping & Night Safari Kevin Lazarus menunjukkan pakej-pakej lawatan ke zoo berkenaan di Taiping, Perak. - Foto: Tourism Malaysia

TAIPING- Tourism Malaysia mencadangkan pengusaha-pengusaha pelancongan untuk menawarkan lebih banyak produk pelancongan dalam bentuk pakej terutamanya sempena Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ini menurut Pengarah Bahagian Pakej Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman adalah kerana produk pelancongan dalam bentuk pakej lebih memberi penjimatan kepada pelanggan di samping memudahkan mereka untuk memilih destinasi atau aktiviti yang diminati.

Tambahan pula ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan produk pelancongan tempatan sebagai mesra pelancong.

“Produk pelancongan biasanya lebih menarik dan menjimatkan kerana ia membolehkan seseorang pelancong itu pergi ke beberapa tempat dalam satu pakej berbanding hanya satu destinasi sahaja.

“Contohnya, jika satu destinasi atau produk pelancongan itu berharga RM50 tetapi apabila digabungkan dengan lima produk, seseorang itu mungkin hanya perlu membayar RM200 sahaja.

“Ini pastinyanya memberi penjimatan kepada mereka apatah lagi jika mereka datang dalam bentuk berkumpulan atau keluarga,” katanya semasa berucap merasmikan Pakej Pendidikan Zoo Taiping & Night Safari bagi mempromosikan zoo tertua di negara ini sebagai salah satu produk pelancongan negeri Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Terdapat tujuh Pakej Pendidikan yang ditawarkan oleh Zoo Taiping & Night Safari iaitu Edu-Fun Pakej A, B dan C; X-plorace Zoo; Pakej Khidmat Masyarakat Khas; Pakej Lawatan Renjer Zoo dan Pakej Lawatan Renjer Khas.

Kesemua pakej tersebut berharga di antara RM15 sehingga RM100 seorang dan terbuka kepada semua peringkat umur.

“Pakej yang paling menarik adalah Khidmat Masyarakat iaitu pengunjung diberi peluang untuk membuat kerja-kerja sukarela membersihkan kandang haiwan dan kawasan sekitar zoo.

Peserta juga akan diberikan sijil penyertaan.

“Ini merupakan pakej yang menarik.

“Kita perlu mendidik kanak-kanak untuk menghargai binatang liar dan alam sekitar sejak dari awal lagi,” katanya lagi.

Tambah Syed Yahya, pakej-pakej yang telah dilancarkan itu mungkin akan dipanjangkan lagi dengan memasukkan destinasi-destinasi terkenal serta produk pelancongan lain yang menarik di Taiping seperti kilang arang, Bukit Larut dan hutan paya bakau.

“Mungkin kita boleh menawarkan pakej separuh hari di zoo dan selebihnya di destinasi-destinasi lain di Taiping.

“Zoo ini sangat signifikan kerana ia merupakan zoo tertua di Malaysia,” katanya lagi.

Menurut Syed Yahya, pelancong dari Eropah, Singapura dan Thailand sangat berminat dengan lawatan ke zoo.

Zoo Taiping & Night Safari dibina di atas tanah seluas 34 ekar, menjadi habitat kepada 1,200 ekor binatang yang terdiri daripada 140 spesis.

Antara binatang yang ada di sana adalah harimau Malaya, Orang Utan, enggang dan badak air.

Pada sebelah malam, pengunjung boleh melawat Night Safari yang merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Tumpuan utama Night Safari Taiping adalah mempamerkan hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semula jadi.- MalaysiaGazette