NARATHIWAT – Hantar dia ke kubur sebelum sampai tujuh hari.
Itu arahan daripada orang atasan gerakan pemisah yang perlu dilaksanakan oleh pengikut untuk membunuh sesiapa sahaja yang bekerjasama dengan kerajaan Thailand.
Perkara itu diceritakan oleh Imam Nasir (bukan nama sebenar) yang merupakan salah seorang bekas ketua gerakan pemisah di selatan Thailand dan menjadi pemberontak ganas menentang pemerintahan kerajaan yang berpusat di Bangkok serta penganut agama selain Islam.
Mendedahkan tentang hal tersebut, Nasir berkata, kebiasaanya pengikut gerakan itu akan akur dengan arahan “bosnya” tanpa berfikir panjang tentang kesan akibat perbuatannya nanti.
Apa yang penting kata beliau ialah menunaikan arahan yang diterima sebagai menyahut seruan jihad untuk menentang kezaliman sebagaimana yang sering diungkapkan dalam siri-siri ceramah dihadirinya bermula ketika beliau berusia 25 tahun.
“Di masa itu tidak ada perasaan berdosa atau sebaliknya mahu dengar arahan ketua. Mereka pun tidak fikir sama ada orang yang hendak dibunuh itu ada anak ataupun tidak.
“Tapi, sekarang ini saya nak bunuh semut pun tak sampai hati. Nyamuk pun kalau gigit saya akan tiup supaya ia lari. Melainkanlah kalau ia mendatangkan kesakitan pada saya, barulah saya bunuh,” katanya yang mengakui pernah mencabut nyawa beberapa individu ketika bergelumang dengan gerakan berkenaan dalam tempoh 10 tahun.
Kini beliau yang telah insaf dengan segala perbuatan zalimnya sebelum ini, mahu mengabdikan saki baki usianya dengan menghambakan diri di jalan Allah.
Dia yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan ketika ini menggunakan perbelanjaan untuk menyara kehidupan daripada rakan-rakannya yang mahu melihat beliau berubah sepenuhnya.
Ujarnya, tidak menjadi masalah buat beliau untuk mendapatkan wang kerana ramai dalam kalangan rakan-rakan mahu membantu lebih-lebih lagi jika perbelanjaan itu mahu digunakan untuk melakukan usaha dakwah menerusi tabligh.
Tambahnya, wang yang diperoleh itu bukanlah daripada tindakan memeras atau apa sahaja berkaitan dengan cara yang salah, tetapi rakan-rakannya sangat memahami bahawa beliau sedang dalam proses mengubah diri ke jalan kebenaran dan disebabkan itu mereka wajib membantu.
“Sebelum ini saya ada kerja sebagai penghantar barang-barang seperti kain dan tudung ke Malaysia.
“Tapi selepas berlakunya insiden pembunuhan di Tak Bai semua pekerjaan yang saya buat tidak menjadi,” jelasnya.
Dalam usaha menebus dosa-dosa yang pernah dilakukannya pula, Nasir berkata, dia sudah bertaubat dan kini sentiasa ringan tulang untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuannya asalkan apa yang hendak dilakukan diredhai Allah.
Beliau yakin tuhan sentiasa bersama dengannya asalkan sesuatu perbuatan yang hendak dilakukan haruslah menjurus kepada kebaikan dan bukannya kemungkaran.
“Ramai kawan-kawan bila tahu saya hendak buat perkara yang ada kaitannya dengan agama dan memerlukan modal, mereka tidak berkira dan terus beri sahaja.
“Syukurlah saya ada ramai kawan yang ingin membantu dan saya berharap agar usaha ke arah kebaikan yang saya sedang lakukan ini mendapat tempat disisi Allah S.W.T,” katanya. – MalaysiaGazette
Tabligh sucikan jiwa ketua gerakan pemisah di selatan Thailand