KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi mendesak Latheefa Koya melepaskan jawatan selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa (SPRM).
Desakan itu bagi mewakili pungutan suara lebih 105,000 orang secara rawak di halaman Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pemuda UMNO.
Asyraf berkata, lebih 94 peratus responden bersetuju bahawa Latheefa telah membelakangi prinsip kedaulatan undang-undang dengan membuat pendedahan rakaman perbualan telefon beberapa individu yang berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan mahkamah.
Tindakan tersebut diperakui ramai boleh mendatangkan subjudis dan menghina mahkamah yang sedang berjalan.
Artikel berkaitan:Pendedahan 9 rakaman audio konspirasi demi kepentingan umum – Latheefa
Rakaman audio disahkan tulen, PM tidak tahu mengenai pendedahan, kata Latheefa
Rakaman audio: Bukankah itu kesalahan besar dilakukan oleh Latheefa? – Shafee
Pendedahan Latheefa dan SPRM membelakangkan kedaulatan undang-undang – Peguam
Menurutnya, sikap Latheefa Koya juga dilihat bermotifkan politik ketika parti kerajaan begitu terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Kimanis setelah mengalami kekalahan besar di empat Pilihan Raya Kecil sebelum ini.
Tegas beliau, SPRM bukan sahaja sepatutnya bertindak berkecuali daripada politik, bahkan mesti dilihat melangkaui polemik politik kepartian.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO menyarankan agar Latheefa Koya melepaskan jawatan dan lebih sesuai kembali kepada jawatan asal beliau dalam kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat yang sedang mengalami krisis kepimpinan yang kronik. – MalaysiaGazette