KUALA LUMPUR – Pelabur asing menjual sebanyak RM10.9 juta saham tempatan pada minggu berlalu berbanding RM28.6 juta saham yang beli pada minggu sebelumnya.
MIDF Research, MIDF Amanah Investment Bank Berhad dalam nota berkata, bursa bermula dengan perlahan apabila pelabur asing mengeluarkan RM57.4 juta susulan konflik di Timur Tengah, membabitkan Iran dan Amerika Syarikat.
Pelabur luar pesisir kembali ke Malaysia pada hari Selasa dengan jumlah belian RM81.8 juta, meningkatkan saham tempatan kepada 0.8% mencecah 1,600 mata.
Kebimbangan konflik bersenjata kembali menghantui pasaran pada hari Rabu selepas Iran membedil roket ke arah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq.
Perkembangan itu menyaksikan pelabur asing melupuskan RM35.2 juta dalam saham tempatan.
Firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan ekuiti tempatan oleh pelabur luar pesisir perlahan pada hari Khamis kepada RM17.5 juta selepas ketegangan Iran dan Washington kendur.
Malah, pelabur asing membeli RM17.4 juta saham di bursa pada hari Jumaat menjelang penamatan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang dijadual berlangsung pada 15 Januari ini.
MIDF Research berkata, perkembangan itu seiring dengan bursa serantau – Korea Selatan, Taiwan dan Filipina serta Indonesia yang menyaksikan kemasukan pelabur asing pada hari sama.
Setakat bulan Januari 2020, aliran masuk dana asing berjumlah RM171 juta – prestasi itu masih lagi kecil jika dibandingkan dengan tiga lagi pasaran ASEAN. – MalaysiaGazette