Home Politik Pengundi Kimanis tagih pembangunan, bukan janji kosong

Pengundi Kimanis tagih pembangunan, bukan janji kosong

Penduduk, Sina Othman bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

KIMANIS – Kemunduran Sabah yang melibatkan kemudahan asas merangkumi jalan raya, bekalan air dan elektrik menjadi topik hangat sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis kali ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar pekan Bongawan, di sini mendapati rata-rata pengundi yang ditemui mahukan seorang wakil rakyat mampu menyelesaikan infrastruktur bermasalah sejak berpuluh tahun lalu.

Menurut serong warga emas, Sina Othman, 69, dia sanggup memangkah calon yang benar-benar ikhlas membantu rakyat khususnya membawa kemudahan dan keperluan asas.

“Saya pilih yang boleh bagi maju rakyatlah, boleh bantu rakyat, macam bagi jalan raya dan rumah kos rendah.

“Yang penting dia sederhana, boleh tolong sama rakyat, jangan pentingkan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette, di Pekan Bongawan, di sini, hari ini.

Menurut seorang peniaga sayur, Dinah Sontari, 58, siapa pun yang bergelar wakil rakyat nanti perlu segera menyelesaikan masalah jalan raya yang menghubungkan bandar dengan penempatan mereka.

Peniaga, Dinah Sontari bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

“Kami merayu siapa saja yang menang, memang minta baiki jalan raya di kampung sebab terlalu ketinggalan bah.

“Kalau boleh bagi pembangunan di Bongawan, sebab jarang sekali jalan di Bongawan disebut dalam berita kecuali Membakut, Beaufort dan Papar.

“Kami mohon kepada bakal YB untuk wujudkan bank di sini. Bongawan tiada bank, yang ada pejabat Pos,” katanya.

Bagi seorang penjawat awam, Muhammad Kahir Sinin, 53, wakil rakyat diingatkan tidak hanya menabur janji sebelum menang pilihan raya.

Pekerja Kontrak, Muhammad Kahir Sinin bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

“Harapan saya mana-mana YB yang memerintah ini akan menyalurkan apa-apa bantuan kepada rakyat.

Jangan tabur janji saja, sekarang mereka ada cakap nak bagi pekerjaan termasuk kilang-kilang dibuat untuk anak-anak muda,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang peniaga runcit, Shin Chiew Nyet, dia akan membuat pilihan tepat dalam pilihan raya kali ini bagi menjamin peluang perniagaan lebih baik.

Peruncit, Shin Chiew Nyet bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

“Sekarang mahu berniaga apa saja macam susah mahu lepas, untung 70 sen pun susah,” luahnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Bongawan, Arfah Gaus, dia sedia memberi undi kepada calon wakil rakyat yang benar-benar boleh membawa pembangunan.

Peniaga, Arfah Gaus bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

“Selama pentadbiran lalu, tiada apa-apa, begini saja selama-lamanya, hampir 15 tahun tiada pembangunan di sini.

“Datuk Mohamad Alamin pernah jadi ADUN di sini, tapi tiada pembangunan, sampai sekarang.

“Datuk Karim okay juga, dia banyak juga bantu,” katanya.

Bagi Bidin Kassim, 43, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) lebih dikenali berbanding calon Barisan Naisonal (BN).

Bekas tentera, Bidin Kassim bercakap ketika tinjauan Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Pekan Bongawan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 13 JANUARI 2020

“Kita mahu pembangunan kami orang berniaga mahu dibagi tempat niaga dibangunkan sikit supaya senang kami cari makan

“Sejak kerajaan baru ini ada juga perubahan sikit, dulu tempat ini berbatu, sekarang sudah bertar.

“Saya harap dapat pembangunan Bongawan, saya lebih kenal Datuk Karim daripada Datuk Mohamad,” katanya lagi. – MalaysiaGazette