KIMANIS – Walaupun calon Parti Warisan Nasional (Warisan), Datuk Karim Bujang dikatakan sebagai calon kitar semula namun beliau tidak berniat untuk menjadi wakil rakyat bagi tempoh lama.
Menurut Karim, matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan dalam kalangan anak muda sebelum beliau bersara daripada politik.
“Saya tak berniat untuk menjadi ahli Parlimen sampai mati…tidak ya…Saya pun mahu berehat.
“Tapi kali ini berilah saya peluang untuk melakukan yang terbaik bagi kawasan ini, itu saja.
“Sebelum itu (bersara) saya mahu melatih dan memberi peluang seberapa ramai anak muda untuk dijadikan pemimpin masa depan, itu janji saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dengan Ahli-ahli UPKO Dun Membakut, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Karim tidak terkilan apabila ramai pemimpin Barisan Naisonal (BN) termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakannya calon kitar semula.
“Saya langsung tidak terhiris pun hati saya dengan panggilan calon kitar semula walaupun saya tahu bossku kena kitar semula dua tiga kali, dia masih belum puas hati lagi, dia mahu kitar semula lagi.
“Saya jenis terus terang, sampai perlu berhenti, kita berhenti, saya akan lakukan yang terbaik untuk generasi muda di kawasan ini, kalau diberi peluang,” katanya.
Sementara itu, Karim turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa bekas ADUN itu tidak berpihak kepada masyarakat Kadazandusunmurut (KDM) di Parlimen Kimanis.
“Itu tidak benar, kenapa saya tidak berpihak kepada KDM, anda boleh semak daripada pilihan raya lalu, saya mempunyai banyak undi malah saya menang dalam kawasan KDM.
“Ini adalah tohmahan daripada parti pembangkang semata-mata,” katanya.
Menjelang pengundian awal esok, Karim juga mengharapkan pengundi awal memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi wakil rakyat.
“Walaupun saya tidak tahu siapa mereka undi, tapi saya ucapkan terima kasih sebab inilah proses demokrasi, inilah menjadi kebanggaan kepada kita.
“Mereka bebas memilih tapi jika berlaku mereka pilih saya, saya akan mengucapkan terima kasih banyak, hanya tuhan mengetahui (membalasnya),” katanya lagi. – MalaysiaGazette