NARATHIWAT – Usaha dakwah yang diamalkan menerusi jemaah tabligh sejak 10 tahun lalu menyucikan jiwa Imam Nasir yang sebelum ini terjebak dengan gerakan oleh puak pemisah di selatan Thailand.
Mengakui dirinya telah tersilap apabila memilih perjuangan yang dilihat hanya sia-sia, Imam Nasir (bukan nama sebenar) dan merupakan salah seorang daripada ketua gerakan terbabit berikrar tidak akan kembali dalam kumpulan yang telah memporak perandakan hidupnya.
Menceritakan mengenai pengalamannya, Imam Nasir yang kini berusia 50 tahun memberitahu, dia terjebak dengan gerakan berkenaan ketika masih di bangku sekolah.
Beliau berkata, ketika usianya masih mentah, dia telah didedahkan dengan satu bentuk perjuangan bagi mencapai kemerdekaan oleh kumpulan terbabit apabila menjadikan Islam sebagai modal untuk membangkitkan semangat anak muda bagi menentang kerajaan yang berpusat di Bangkok.
Gerakan tersebut yang terdiri dalam kalangan guru-guru sekolah telah memomokkan ke dalam sanubari pelajar mereka agar merampas wilayah selatan Thailand daripada kerajaan yang dikatakan telah bertindak zalim kepada rakyat di wilayah itu, katanya.
Tambah beliau, bermula dengan mengimbau sejarah asal Patani guru-guru terbabit kemudiannya telah membangkitkan semangat berkobar-kobar kepada rakan-rakannya untuk menentang kerajaan atas dakwaaan melakukan kezaliman melampau kepada rakyat.
“Banyaklah benda yang dikatakan zalim itu, sehingga kita timbul perasaan marah.
“Bila dah marah sehingga bertahun-tahun guru itu lama kelamaan di dalam ceramahnya telah mengaitkan perkara yang bersangkut paut dengan agama pula.
“Jadi, tiba-tiba dalam hati kami timbul pula perasaan wajib kita ambil kembali tiga daerah berkenaan untuk ditadbir sendiri (dipisahkan daripada pemerintahan kerajaan Thailand).
“Kami rasa ini macam satu kewajipan, dan kewajipan itu termasuk dalam agama,” katanya dalam satu pertemuan di sebuah lokasi di sini.
Menurut Imam Nasir lagi, guru-guru tersebut turut menyatakan bahawa jika mereka terkorban dalam perjuangan menentang kerajaan, mereka akan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dalam keadaan mati syahid.
Bagaimanapun, hatinya mula berubah selepas kematian adiknya yang terkorban dalam perjuangan ketika menyertai gerakan terbabit.
Dia mula tertanya siapakan sebenarnya ketua dalam gerakan berkenaan kerana tidak pernah diketahui meskipun telah menyertai kumpulan itu sejak 20 tahun lamanya.
Apa yang ditanamkan dalam sanubari setiap anggota kumpulan terbabit ialah perasaan marah yang membuak-buak serta sentiasa bersedia untuk bertempur.
Ketika ditanya bagaimana timbul perasaan untuk meninggalkan gerakan terbabit Imam Nasir menjawab, dia telah ditangkap oleh tentera Thailand dan dipenjarakan semalam 10 tahun.
Katanya, banyak perkara telah dipelajari ketika beliau menjalani hukuman termasuk menjadikan pengajaran selepas melihat sendiri didepan matanya rakan-rakan seperjuangann yang terkorban ditembak oleh junta tentera kerajaan.
“Lepas keluar dari penjara orang kampung dan keluarga suruh saya pergi ke Malaysia dengan tujuan agar saya tidak terlibat kembali dengan gerakan itu.
“Satu hari ibu saya menangis. Dia minta supaya saya lari kerana bimbang akan berlaku bahaya kepada diri saya.
“Dia bimbang kerana saya baru keluar penjara dan jika saya menyertai gerakan itu akan mati ditembak tentera kerajaan.
“Maka saya pun terfikir, saya boleh lari tapi dalam keadaan saya kena ikut tabligh,” ujarnya.
Dengan semangat tinggi untuk berjuang di dalam menyebarkan agama Allah yang lebih bermatlamat, Imam Nasir berkata, beliau berjanji kepada dirinya untuk tidak kembali kepada perjuangan terdahulu dan hidup matinya adalah dengan asas untuk menyampaikan dakwah menerusi tabligh.
Katanya, dengan menyertai tabligh jiwanya menjadi lebih tenang kerana segala yang dilakukan adalah mengikut perintah Allah S.W.T sebagaimana dilakukan rasulnya Nabi Muhammad S.A.W.
“Bila saya mengkaji dalam perjuangan Rasullallah ketika berada dalam tabligh nabi berterus terang. Tapi dalam perjuangan kami (gerakan pemisah) semua dirahsiakan pula.
“Makanya, kita kena tahu latar belakang siapa ketua kita, orangnya beriman atau tidak dan macam mana akhlaknya. Baru kita boleh percaya dan taat. Ini tak tahu bagamana saya boleh taat,” tambah beliau yang turut mengakui pernah membunuh beberapa orang kafir ketika menjadi ketua dalam gerakan berkenaan. – MalaysiaGazette