Home Nasional PRK Kimanis: SPR guna kamera video di semua saluran mengundi

PRK Kimanis: SPR guna kamera video di semua saluran mengundi

Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, langkah itu sebagai salah satu usaha penambahbaikan.

“Penggunaan kamera video ini adalah untuk rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR untuk menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ia dipasang di semua 68 saluran dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman melakui kamera video itu akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan rujukan untuk tujuan latihan serta penambahbaikan proses pilihan raya akan datang.

Penggunaan kamera video itu tidak akan sama sekali menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan kamera ini dipasang jauh dari petak undi dan kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan.- MalaysiaGazette