KUALA LUMPUR – Indonesia semakin jauh meninggalkan Malaysia daripada aspek ekonomi kerana kestabilan politiknya sekarang.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, berbanding semasa zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) negara ini sering menjadi negara pilihan untuk pelaburan asing sebaliknya ia kini tidak lagi berlaku.
Beliau mengambil contoh laporan berita yang menyatakan negara jiran itu kini menjadi pilihan pelabur Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang bernilai 314.9 trilion rupiah (RM93.5 bilion) merangkumi pelaburan dalam tenaga dan sektor lain.
“Kenapa? Indonesia politiknya stabil dan presiden serta kerajaannya diyakini. Indonesia bijak merebut peluang dan merangka masa depan. Mereka tidak bermusuh dengan negara lain.
“Malangnya Malaysia situasi politik tidak stabil. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak diyakini oleh pelbagai pihak. Pelbagai institusi penting negara; Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan sebagainya dilihat pelbagai pihak ada campurtangan kerajaan PH.
“Ekonomi negara tidak diurus dengan baik. Polisi dan dasar negara tidak jelas serta tidak konsisten siapa penentunya,” ujarnya di Facebook hari ini.
Lebih malang kata Shamsul Anuar, polisi dasar luar negara merugikan negara.
“Perdana Menteri Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad) mencipta musuh dengan pelbagai negara. Semua ini merugikan rakyat negara ini.
“Jika ini berterusan, Malaysia akan ketinggalan,” katanya.- MalaysiaGazette