Home Nasional Kapasiti e-dompet Touch ‘n Go ditingkat, pastikan pengguna dapat tebus RM30

Kapasiti e-dompet Touch ‘n Go ditingkat, pastikan pengguna dapat tebus RM30

KUALA LUMPUR – Kapasiti sistem e-dompet Touch ‘n Go ditingkatkan berikutan jumlah trafik yang tinggi menggunakan aplikasi tersebut untuk menebus wang sebanyak RM30 daripada program e-Tunai Rakyat yang bermula hari ini.

Syarikat perkhidmatan itu dalam kenyataannya hari ini berkata, langkah penambahbaikan itu telah menyaksikan peningkatan dalam jumlah pengguna yang berjaya menebus wang tersebut setakat pukul 12 tengah hari tadi.

“Kami amat menghargai kesabaran anda dan pasukan kami sedang bekerja keras untuk memastikan aplikasi kami kembali kepada fasa kecekapan optimum secepat mungkin,” kata syarikat itu sebagai reaksi kepada laporan berita MalaysiaGazette berhubung rungutan orang ramai yang tidak dapat menebus RM30 itu menggunakan aplikasi e-dompet Touch ‘n Go.

Warga maya hari ini meluahkan rasa tidak puas hati apabila sistem e-dompet syarikat tersebut mengalami gangguan ketika memproses permohonan untuk mendapatkan wang RM30 itu.

Dalam kenyataan itu juga, e-dompet Touch ‘n Go berterima kasih di atas kepercayaan rakyat Malaysia untuk menggunakan khidmat mereka dalam menebus e-Tunai Rakyat itu.

“Kami berharap rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan kini dan pada masa akan datang kerana kami memberikan nilai menerusi pelbagai kempen yang dirancang untuk setiap orang daam perjalanan tanpa tunai bersama kami,” katanya.

Menerusi program e-Tunai Rakyat, mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun layak menerima sebanyak RM30 melalui salah satu daripada tiga pengendali e-dompet yang terpilih iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

Sistem e-dompet Touch ‘n Go tergendala kerana e-Tunai RM30?