PUTRAJAYA – Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador seolah-olah memberi konotasi serangan seksual melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu benar-benar berlaku.
Itu kekecewaan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
“Saya juga nak beri reaksi terhadap kenyataan IGP bersabit dengan keputusan AG untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atas Anwar sepertimana alasan diberi semalam.
“Tapi komen hari ini ada satu ayat yang sangat kecewa dan kesal dengan kenyataan tersebut kerana kerajaan itu memberi konotasi seolah-olah perbuatan itu berlaku,” katanya pada sidang media sempena Tahun Baru Cina di sini hari ini.
Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu merujuk kepada satu kenyataan Abdul Hamid yang pihaknya menghadapi kesukaran kerana kejadian itu sudah berlaku satu hingga dua tahun dahulu.
Abdul Hamid sebelum itu berkata, kes serangan seksual membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memerlukan bukti fizikal kerana ia sudah lama berlaku hari ini.
“Saya kesal sebab sepatutnya KPN dapat mengawal diri daripada mengeluar kenyataan yang boleh memberikan konotasi boleh dibaca sebagai satu memberi konotasi yang tidak elok kepada individu yang terlibat.
“Saya kesal dan kecewa kenyataan itu sepatutnya tidak datang dengan KPN yang sepatutnya lebih cermat dalam membuat satu kenyataan terhadap satu perkara yang telah diputuskan untuk tidak diteruskan proses pendakwaan oleh Peguam Negara. Itu adalah lebih baik, lebih molek, lebih cantik untuk jawatan nombor satu dalam perkhimatan kepolisan,” kata Saifuddin lagi.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Perlu bukti fizikal jika mahu buka semula kes serangan seksual