KOTA TINGGI – Seramai 23 lelaki dan 10 wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan ketika cuba menyeludup keluar dan masuk ke negara ini melalui kawasan tidak diwartakan berhampiran Kompleks Rakan Muda, Desaru di sini malam tadi.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili dalam dua operasi kira-kira 12 tengah malam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan, dalam tangkapan itu juga, salah seorang wanita yang ditahan mendakwa dia dipukul oleh sindiket terlibat.
Selain itu, tambahnya, wanita itu turut mendakwa terdapat percubaan merogol oleh ahli sindiket ke atas dirinya.
“Penahanan pertama pada 12.05 malam melibatkan 12 lelaki dan lima wanita yang baru tiba di pesisir pantai manakala tangkapan kedua membabitkan 11 lelaki dan lima wanita yang ditahan di dalam belukar berhampiran pada jam 12.45 malam,” katanya.
Tambahnya, mereka yang ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 iaitu cuba masuk / keluar Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan boleh disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2010.
Mohd. Zulfadli berkata, pesisir pantai Desaru merupakan laluan hot spot bagi penyeludupan PATI di mana seramai 125 orang ditahan pada 2018 dan 117 orang pada tahun lepas. – MalaysiaGazette.