Home Nasional SHMMP Tahun Baru Cina dilaksanakan 14 hari bermula 20 Jan

SHMMP Tahun Baru Cina dilaksanakan 14 hari bermula 20 Jan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersama timbalannya, Chong Chieng Jen (dua kanan) serta yang lain bergambar sambil menunjukkan tanda harga barang kawalan pada sidang media khas Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di KPDNHEP, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2020.

PUTRAJAYA – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2020 akan dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 Jan sehingga 2 Feb, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya tempoh pelaksanaan tahun ini ditambah empat hari berbanding 10 hari tahun lepas, iaitu lima hari sebelum perayaan, pada hari perayaan 25 Jan dan lapan hari selepas perayaan.

Beliau berkata 16 jenis barangan akan terlibat pada SHMMP Tahun Baru Cina 2020 berbanding 13 jenis barangan sebelum ini, penambahan tiga jenis barangan membabitkan cili merah, tomato dan ubi kentang import dari China.

Barangan lain yang dikawal harga antaranya ayam, telur ayam, sayuran, barang kering, hasil laut dan daging khinzir, katanya.

“Kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina, oleh itu kawalan harga adalah bagi menstabilkan harga dan bekalan di pasaran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Saifuddin turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan khususnya 16 jenis di bawah pelaksanaan SHMMP itu adalah mencukupi.

Katanya daripada 13 jenis barangan yang dikawal, tahun ini menyaksikan kenaikan harga pada bawang putih iaitu harga runcitnya adalah RM9 sekilo berbanding RM7 sekilo tahun lepas dan daging khinzir harga runcit naik RM16 sekilo bagi daging dan lemak, berbanding RM15 sebelum ini.

Beliau berkata kenaikan harga adalah berikutan kenaikan kos dihadapi industri penternak yang membabitkan utiliti, pengangkutan, gaji dan makanan haiwan.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan untuk memastikan harga berpatutan bagi manfaat pengguna dan peniaga,” katanya.

Saifuddin berkata SHMMP itu akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan.

Menurutnya 29,543 pemeriksaan dilakukan tahun lepas, kebanyakannya melibatkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu, gagal memaparkan tanda harga dan barangan harga terkawal dijual melebihi harga maksimum.- BERNAMA