Home Nasional 29,619 orang layak mengundi di PRK Kimanis Sabtu ini

29,619 orang layak mengundi di PRK Kimanis Sabtu ini

Penduduk menaiki motosikal melepasi bendera-bendera parti politik yang bertanding ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di sekitar Kampung Mandahan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 29,619 orang daripada 29,664 orang pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil Kimanis pada Sabtu ini.

Sembilan orang telah mengundi awal pada 14 Januari lalu manakala 35 adalah merupakan pengundi pos dan seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH).

Sehubungan dengan itu, SPR menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, para pengundi adalah dinasihatkan agar merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Manakala, bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan juga boleh dibuat melalui portal semakan daftar pemilih https://pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO. KAD PENGENALAN.

Katanya, para pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya. – MalaysiaGazette