Home Nasional Lebih baik beri vaksin influenza daripada laksana program e-Tunai Rakyat

Lebih baik beri vaksin influenza daripada laksana program e-Tunai Rakyat

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM450 juta bagi tujuan pelaksanaan program e-Tunai Rakyat adalah lebih baik sekiranya disalurkan kepada inisiatif untuk pemberian vaksin percuma kepada kanak-kanak yang terdedah jangkitan Influenza.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kewangan berhubung perkara itu dilihat tidak difikirkan secara menyeluruh.

Malah, proses e-Tunai Rakyat itu boleh mendatangkan isu keselamatan digital apabila 15 juta rakyat Malaysia yang layak menerimanya akan mengambil gambar masing-masing untuk tujuan pengesahan.

“DPIM gusar dengan terdedahnya maklumat penting setiap rakyat Malaysia yang diambil oleh pengendali e-dompet atau ‘third party’ ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selasa lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pengagihan sebanyak RM30 kepada 15 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000 setahun.

Menurut Guan Eng, program e-Tunai Rakyat akan disalurkan melalui tiga pengendali e-dompet terbesar di Malaysia iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Program e-Tunai Rakyat itu juga adalah sebahagian daripada langkah-langkah Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh Kementerian Kewangan pada 11 Oktober 2019.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, pelaksanaan e-Tunai Rakyat itu juga dilihat tidak menyeluruh kerana sistem e-dompet hanya digunakan di bandar-bandar sahaja.

Katanya, penduduk di luar bandar dan pedalaman tidak mendapat insentif kerajaan itu kerana kekangan teknologi dan logistik.

“DPIM melihat hanya sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mendapat manfaat ini termasuklah pengendali e-dompet.

“Peruntukan RM450 juta ini seharusnya dilaksanakan dengan cermat melalui inisiatif yang lebih menyeluruh.

“DPIM bersetuju dengan cadangan inisiatif membentuk negara yang menggunakan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya dalam sektor runcit, namun inisiatif terhadap perkara yang hendak dilaksanakan haruslah lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette