Home Nasional Pilihan raya PBT cuma jaga kepentingan sesuatu kaum – Panji

Pilihan raya PBT cuma jaga kepentingan sesuatu kaum – Panji

Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) terus mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

Hari ini, Pertubuhan Amal Nusantara Jaringan Insan Malaysia (Panji) turut membantah sebarang usaha yang sedang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba untuk mewujudkan pilihan raya itu.

Presidennya, Kapten (B) Muhamad Suhaimi Yahya mendakwa, tindakan sesetengah pihak yang berterusan membangkitkan isu tersebut sebenarnya cuba berselindung di sebalik alasan untuk mengamalkan konsep demokrasi tulen sehingga ke peringkat akar umbi serta memastikan akauntabiliti PBT kepada rakyat.

Katanya, ia bertujuan menjaga kepentingan sesuatu kaum yang mana secara penempatan dan ekonominya telah mendominasi kawasan strategik di bandar-bandar utama di Malaysia.

“Gerakan strategik ini pernah menimbulkan keadaan huru-hara perkauman pada tahun 1960an dan hasilnya ia telah menjejaskan kehidupan kepada seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu.

“Panji melihat pada ketika ini agenda untuk membangunkan rakyat dan negara secara adil dan seimbang adalah lebih utama daripada agenda sempit melaksanakan pilihan raya PBT ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Suhaimi menegaskan, pihaknya menuntut agar akauntabiliti dan prestasi PBT terus dinilai serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa melalui sistem audit dan polisi yang sentiasa diperkemaskan demi kepentingan rakyat.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, kita harus kukuhkan soladiriti kita dengan menetapkan pendirian untuk menolak gerakan strategik mewujudkan pilihan raya PBT yang mana secara
strategik akan menambah lagi keparahan kepada tahap ketidakseimbangan penguasaan ekonomi antara kaum yang seterusnya akan menghangatkan lagi isu-isu perkauman di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette