Home Utama Pemegang PSS dibenar masuk Semenanjung satu malapetaka -Tok Mad

Pemegang PSS dibenar masuk Semenanjung satu malapetaka -Tok Mad

"Saya pula lebih rendah diri, sebagai warganegara, saya di Sabah tiga bulan saya kena keluar, tapi PSS boleh sambung-sambung sampai tiga tahun dan boleh sambung lagi sampai bila-bila,"

Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Ceramah PDM Pimping sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Pimping, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 16 JANUARI 2020

KIMANIS – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membenarkan pemegang Pas Sementara Sabah (PSS) memasuki Semenanjung untuk tempoh sebulan disifatkan sebagai satu malapetaka kepada Malaysia.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, KDN perlu mengkaji semula cadangan tersebut kerana bidang kuasa PSS tiada kena mengena dengan kerajaan negeri di Semenanjung.

“Ini merupakan satu malapetaka kalau dilakukan, apa kena-mengena PSS dengan Semenanjung, PSS ini adalah (di bawah bidang kuasa) Kerajaan Negeri Sabah dan Imigresen Sabah.

“Di dalam Perjanjian Malaysia 1963, imigresen di bawah kuat kuasa Sabah, kerakyatan di sini pun adalah kerakyatan Sabah.

“Guna PSS untuk pergi ke Semenanjung saya rasakan itu satu perkara yang perlu difikirkan sedalam-dalamnya oleh KDN.

“Kajian mendalam perlu dilakukan sebelum satu keputusan dibuat, nanti kalau nak pusing balik susah,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pimping, di sini, malam ini.

Rabu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pemegang PSS dibenarkan ke Semenanjung Malaysia tidak lebih sebulan jika mendapat kebenaran.

Dalam pada itu, Mohamad melahirkan rasa terkilan apabila pengenalan PSS hanya memberi kelebihan kepada pendatang asing tanpa izin sedangkan warganegara Malaysia dari Semenanjung tidak dibenarkan berada di Sabah tidak lebih tiga bulan.

“Saya pula lebih rendah diri, sebagai warganegara, saya di Sabah tiga bulan saya kena keluar, tapi PSS boleh sambung-sambung sampai tiga tahun dan boleh sambung lagi sampai bila-bila,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.