KUALA LUMPUR – Situasi yang berlaku di rantau Asia Barat sedikit merumitkan perancangan dan persiapan skuad bola sepak kebangsaan yang bakal berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 26 Mac ini.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Manama pada bulan Mac sebelum menentang UAE dalam aksi kumpulan G.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, untuk perlawanan dengan UAE, pihaknya menyerahkan keputusan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk memutuskan sama ada untuk meneruskan perlawanan atau sebaliknya jika situasi meruncing.
“Kita biarkan AFC dan FIFA buat keputusan dan memaklumkan kepada FAM. Bagi perlawanan dengan Bahrain, kita sendiri berkomunikasi dengan kedutaan tertentu untuk mendapatkan maklumat berkaitan serta keadaan domestik.
“Namun, sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira keputusan AFC dan FIFA. Kalau diteruskan, kita perlu juga cari perlawanan di Asia Barat untuk kurangkan perjalanan pasukan yang mungkin letih sebelum perlawanan.
“Akan merumitkan sikit perancangan tapi kita sedang bincang pelan B dan C,” katanya.
Skuad Harimau Malaya berada di tangga kedua dalam kumpulan G dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia dan Thailand sekali gus menghidupkan peluang untuk menempah tiket automatik ke Piala Asia 2023.
Semalam, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya sentiasa memantau situasi yang berlaku di negara Asia Barat itu kerana isu keselamatan pasukan sudah pasti menjadi keutamaan AFC dan FIFA selaku badan induk yang menguruskan aktiviti bola sepak di seluruh dunia.
Ketegangan di Asia Barat tercetus susulan kematian Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran, yang terbunuh dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat (AS) berhampiran lapangan terbang Baghdad pada awal bulan ini.
Berikutan insiden itu, Iran melancarkan serangan balas dengan peluru berpandu ke atas beberapa pangkalan udara di Iraq yang menempatkan tentera Amerika Syarikat. – Bernama