PUTRAJAYA – Setelah tiga dekad berkhidmat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ja’afar Mahad menamatkan tugasnya sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) hari ini.
Ketika Majlis Paluan Berundur bersempena persaraannya di ibu pejabat suruhanjaya itu, Ja’afar kelihatan sebak dan sedih meninggalkan SPRM.
Beliau yang pada hujung ucapan mempersembahkan puisi nukilan Profesor Hamka bertajuk ‘Terlena’ bagaimanapun tidak dapat menghabiskannya kerana sedih dan sebak.
Beliau juga sempat mengimbau pengalamannya memulakan tugas sebagai Pegawai Siasatan pada 29 Mei 1984, memikul amanah dan tanggungjawab dengan cabaran.
Selepas 36 berkhidmat beliau melihat perubahan besar yang berlaku dalam SPRM dari aspek sistem, cara kerja, struktur organisasi dan undang-undang.
Beliau juga gembira melibat SPRM kini mendapat dokongan kerajaan.
“Kini setelah tiga dekad lalu saya melihat terdapat banyak perubahan dan perubahan SPRM. Sistem cara, struktur organisasi dan undang-undang, khususnya sejak SPRM diwujudkan pada 1 Januari 2009,” katanya.
Beliau berharap kesinambungan legasi kecemerlangan SPRM selepas ini akan berterusan.
Ja’afar juga berharap penggantinya akan meneruskan usaha untuk mendapatkan peruntukan pembangunan bagi pembinaan empat Kompleks Pejabat SPRM di Sabah, Kedah, Perlis dan Labuan.
Ja’afar akan digantikan oleh Datuk Jupinah Wandi.
Jawatan terakhir Jupinah adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Intergriti Agensi dan Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam. -MalaysiaGazette