Home Utama 200,000 vaksin influenza masuk secara berperingkat

200,000 vaksin influenza masuk secara berperingkat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan penderma darah pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan 2020 di Bangunan Peladang (NLFCS), Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2020

PETALING JAYA – Sebanyak 200,000 bekalan vaksin influenza dibawa masuk oleh pembekal secara berperingkat ke negara ini dalam tempoh dua bulan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, bekalan tersebut akan mula dibawa masuk bermula bulan ini dengan 16,800 daripadanya tiba hari ini.

Beliau berkata, jumlah 15,000 vaksin lagi dijangka tiba Isnin ini, manakala baki 67,000 pada 27 Januari nanti.

“Secara keseluruhan, kira-kira 100,000 bekalan vaksin akan tiba pada Januari, manakala 100,000 lagi dalam tempoh dua tiga minggu akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 2020 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama Dzulkefly meminta agar klinik swasta di negara ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga vaksin influenza itu sesuka hati.

Katanya, pada kebiasaannya caj untuk mendapatkan vaksin berkenaan adalah sekitar RM50 hingga RM100 sahaja.

“Secara munasabah memang itulah harganya. Saya nak ingatkan agar klinik swasta ini tidak meningkatkan harga dengan keterlaluan. Saya yakin perkara ini akan dapat dikawal,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kesiapsiagaan pihak Kementerian Kesihatan dalam menangani wabak coronavirus di sempadan negara, Dzulkefly memberitahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya sentiasa bersedia dalam menangani wabak jangkitan berkenaan.

Katanya, pada masa ini KKM memantau dengan rapi penyakit coronavirus dan perkara itu telah diambil perhatian sejak dari awal lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dedak 30 hinggit jauh dari mencukupi untuk membeli vaksin SELSEMA BABI ni woi!

    Klinik2 swasta mencekik darah ke apa? Atau supplier kroni2 mencekik darah? ha..ha..ha..

Comments are closed.