PETALING JAYA – Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang mengesahkan bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini adalah mesyuarat biasa yang diadakan sebulan sekali di ibu pejabat parti.
Malah menurut beliau, tiada sebarang agenda pemecatan ahli parti dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.
“Ini cuma mesyuarat MPP yang biasa, saya pun tidak tahu mengapa apa perhimpunan di sini, hari ini,” katanya ketika ditemui media di perkarangan ibu pejabat parti itu.
Ketika mesyuarat MPP berlangsung hari ini, dua kumpulan berhimpun di perkarangan ibu pejabat PKR, satu kumpulan penyokong Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan satu kumpulan menentangnya.
Satu kumpulan mahu Zuraida dipecat sebagai Naib Presiden dan ahli parti kerana bertindak mengkritik Anwar Ibrahim pada bulan lalu.
Manakala kumpulan penyokong Zuraida menentang pemecatan beliau.
Zuraida pada 8 Disember lalu, menjelaskan beliau dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia dipecat jika tindakan mereka mengkritik parti pada malam itu dikira sebagai pengkhianat. – MalaysiaGazette