PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR hari ini menetapkan agar kesemua wakil PKR dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) harus sebulat suara dalam tempoh peralihan kuasa antara Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata ketetapan itu diambil dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memandang perkara itu pernah menetapkan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir bagi jawatan Perdana Menteri.
“Mesyuarat hari ini juga membuat ketetapan bahawa semua wakil PKR hendaklah membawa suara yang sama seperti mana keputusan parti.
“Keputusan parti siapa calon PM adalah jelas, apa pendirian parti juga jelas. Pendirian parti berkenaan dengan tempoh transisi juga sangat jelas. Jadi keputusan ini menyebut semua wakil parti dalam Majlis Presiden mesti bercakap sesuatu dengan keputusan dan ketetapan parti,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat MPP, di ibu pejabat PKR, hari ini.
Untuk rekod, PKR diwakili Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Tian Chua, Datuk Seri Saifuddin Nasution, dan Xavier Jayakumar.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, mereka yang dilantik mewakili parti tidak boleh membawa suara peribadi dan harus kekal dengan pendirian parti yang memilih Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
“Mereka tidak boleh bawa pandangan peribadi, kerana yang mengikat kita adalah keputusan atau pandangan parti,” katanya lagi.
Semalam, Azmin mengingatkan agar pihak yang menggesa peralihan kuasa Perdana Menteri mengutamakan kepentingan negara dan bukannya individu.
Azmin dipercayai merujuk kepada cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar peralihan kuasa dilakukan pada Mei tahun ini.
Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, tidak perlu tergesa-gesa peralihan kuasa dilaksanakan kerana ada perkara yang lebih penting untuk ditumpukan pada tahun ini. -MalaysiaGazette