BEAUFORT – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis hari ini mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding sembilan PRK sebelum ini, sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata pada PRK kali ini, jumlah peratusan keluar mengundi adalah 79.92 peratus, melebihi sasaran 70 peratus yang ditetapkan.
“Malah peratusan hari ini melangkaui peratusan keluar mengundi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau (April tahun lalu) yang mencatat peratusan keluar mengundi 79.31 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam lintas langsung bersama BERNAMA TV mengenai proses pengundian PRK berkenaan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, di sini, malam ini.
Azhar berkata, proses pengundian PRK Parlimen Kimanis berjalan lancar.
PRK DUN Rantau pada April tahun lalu mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi sebanyak 79.31 peratus.
PRK Parlimen Kimanis adalah PRK ke-10 sejak PRU-14 pada Mei 2018.
PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, bagi kerusi itu pada PRU-14 lalu.
Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lalu memutuskan kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. – BERNAMA