Home Politik PRK Kimanis bukti rakyat sudah muak dengan PH-Warisan – Ka Siong

PRK Kimanis bukti rakyat sudah muak dengan PH-Warisan – Ka Siong

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin meraikan kemenangan dengan para penyokong selepas diumumkan sebagai pemenang di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) P. 176 Kimanis di hadapan Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, Beaufort, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 18 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR- Kemenangan Barisan Nasional (BN) buat kali kelima berturut dalam pilihan raya kecil (PRK) sejak pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang lalu membuktikan rakyat telah benar-benar muak dan tidak lagi yakin dengan pemerintahan Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah di peringkat negeri.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, meskipun PH dan Warisan menabur macam-macam peruntukan dan memiliki kekuatan jentera kerajaan termasuk media-media utama tetapi rakyat lebih bijak dalam memilih wakil rakyat mereka.

Wee Ka Siong

“Mesej rakyat di Kimanis ini sama seperti di Semenyih, Rantau, Cameron Highlands dan Tanjung Piai iaitu, rakyat benar-benar terluka dengan kerajaan PH yang bukan saja gagal menunaikan janji manifesto bahkan juga gagal menjaga hak dan kepentingan rakyat.

“Saya yakin dan percaya Datuk Mohamad Alamin akan menjadi seorang wakil rakyat yang berwibawa dalam memperjuangkan nasib warga Kimanis serta menjalankan semak dan imbang kerajaan PH.

“Sekali lagi tahniah dan terima kasih pengundi Kimanis!” katanya.

Tambah Ka Siong, apa yang lebih menggembirakan BN menang dengan majoriti undi yang jauh lebih besar berbanding PRU-14.

“Tahniah Datuk Mohamad Alamin di atas kemenangan dalam pertempuran satu lawan satu di PRK Kimanis. Lebih menggembirakan, PRK di Kimanis ini Barisan Nasional menang dengan majoriti undi yang jauh lebih besar berbanding PRU14 lalu.

Tidak dilupa ucapan terima kasih kepada seluruh jentera semua peringkat BN, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Progresif Sabah (SAPP), PAS, Friends of BN, anak-anak muda dan para penyokong BN,” katanya lagi.- MalaysiaGazette