Home Dunia Seorang lagi terbunuh dalam protes di Iraq

Seorang lagi terbunuh dalam protes di Iraq

BAGHDAD – Pasukan keselamatan Iraq membunuh sekurang-kurangnya seorang peserta demonstrasi manakala 25 lagi tercedera apabila mereka menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan peserta-peserta demonstrasi yang cuba memecah masuk jambatan Sinak di Bagdhah, pada Jumaat.

Menurut sumber perubatan, peserta demonstrasi itu mati apabila tin gas pemedih mata itu terkena lehernya, lapor Reuters.

Jambatan Sinak terletak berhampiran Dataran Tahrir di mana ribuan peserta demonstrasi telah berkampung sejak beberapa bulan lalu.

Apabila berlaku kekecohan baru-baru ini, pihak berkuasa mengambil keputusan untuk menyekat akses bagi menyeberangi jambatan tersebut.

“Mereka cuba merempuh halangan di kawasan jambatan Sinak dan pihak keselamatan terpaksa menggunakan kaedah bukan membunuh untuk menghentikan rempuhan tersebut selama beberapa jam,” kata jurucakap perdana menteri.

Protes besar-besaran berlaku di Iraq sejak 1 Oktober lalu disertai oleh kebanyakkannya adalah orang muda meminta supaya sistem politik negara berkenaan diubah.

Mereka melihat sistem politik di negara berkenaan sebagai rasuah dan menyebabkan Iraq terus berada dalam kemiskinan.

Setakat ini lebih 450 telah terbunuh dalam demonstrasi berkenaan.- Agensi