Home Nasional Kemenangan Kimanis isyarat rakyat mahu BN kembali berkuasa

Kemenangan Kimanis isyarat rakyat mahu BN kembali berkuasa

Periasamy

KUALA LUMPUR – Siapa sangka, Barisan Nasional (BN) sekali lagi mencatat kemenangan berturut-turut di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kali ini di Kimanis.

Kimanis sebelum itu dianggap sedikit ‘sengit’ dengan parti Warisan menguasai negeri itu pada masa ini.

Malah, sejak 19 bulan lalu, keadaan BN khasnya UMNO Sabah yang seolah-olah terkontang kanting serta hampir lumpuh berikutan enam kerusi Parlimen, 16 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga 22 daripada 25 ketua bahagian.

Keadaan itu sekaligus memberikan isyarat keadaan nazak UMNO Sabah.

Ia seolah-olah tidak ada peluang sehingga menyebabkan rata-rata berpendapat PRK Kimanis mungkin memberi kemenangan kepada calon Warisan.

Namun siapa sangka, semalam kemenangan calon BN, Datuk Mohamad Alamin dengan majoriti 2,029 undi selepas memperoleh 12,706 undi manakala pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.

Menurut penganalisis politik, Datuk M. Periasamy yakin kemenangan itu sebenarnya satu isyarat penting rakyat yang bukan sahaja sudah muak dengan kerajaan PH yang disifatkan banyak menyusahkan rakyat.

Malah kata beliau, kemenangan demi kemenangan BN termasuk di tempat-tempat sukar sebenarnya satu isyarat kepada BN untuk kembali memegang tampuk kuasa setelah kalah teruk selepas lebih 60 tahun mentadbir negara.

“Kemenangan Kimanis merupakan protes pengundi khasnya rakyat Sabah terhadap  kerajaan negeri yang diterajui parti Warisan, sebuah parti komponen PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Selama hampir 20 bulan ini, rasa tidak puas hati ini telah diterjemahkan oleh penduduk Sabah khasnya terhadap dasar-dasar kerajaan negeri yang diterajui Warisan terutamanya dasar pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) mulai Jun tahun ini bagi menggantikan dokumen IMM13, Kad Burung-burung dan Sijil Banci yang sedia ada.

“Isu PPS ini bukan hal yang boleh dipandang ringan oleh kerajaan negeri malah ini juga antara punca mengapa Warisan kalah. Walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan kononnya PSS adalah langkah untuk memberi sijil kewarganegaraan kepada warga asing, rakyat Sabah sukar menerima penjelasan KDN.

“Pada mereka PSS adalah satu  langkah kerajaan PH untuk memberikan kad pengenalan dan sijil kerakyatan kepada warga asing. Seharusnya, Warisan melalui Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal perlu lakukan kajian lebih mendalam khasnya sentimen oleh rakyat di negeri itu sebelum keputusan sebegini.

“Sentimen ini bukanlah sesuatu yang baharu malah rata-rata rakyat yang juga sebelum ini penyokong tegar PH di Semenanjung juga semakin muak lagi-lagi dengan pelbagi pusingan ‘U’ oleh kerajaan ketika ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Periasamy lagi, jumlah pengundi bumiputera Islam Melayu adalah majoriti (63.6 peratus), manakala bakinya adalah bumiputra bukan Islam, yang kebanyakannya terdiri daripada etnik Kadazan Dusun Murut (KDM) dan Cina, maka pengundi Islam didapati terus menyokong malah menjadi penyumbang besar kepada kemenangan calon BN.

“Pada PRU-14 lepas, sebahagian besar pengundi bukan Islam dikesan mengalih sokongan mereka kepada calon Warisan.

“Tetapi kali ini parti-parti yang mewakili kepentingan pengundi bukan Islam di Sabah seperti PBS, SAPP, Star Anak Negeri ‘mula’ bersama BN dalam menentang calon Warisan.

“Penolakan parti-parti tersebut kepada calon Warisan kerana isu PSS telah menyebabkan calon BN menang dengan hebatnya pada PRK Kimanis kali ini,” ujarnya.

Kimanis catat kemenangan kelima Barisan Nasional, majoriti 2,029 undi

Dalam pada itu, Periasamy juga menuding jari kepada pembatalan atau mengubah dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diumumkan oleh kerajaan PH menimbulkan kebingungan malah perasaan kurang senang hati di kalangan rakyat Malaysia.

“Antara contoh terbaru, pengumuman Program Sarapan Percuma (PSP) yang dikatakan akan memberi manfaat kepada 2.7 juta pelajar sekolah rendah di seluruh negara mulai sesi persekolahan 2020 diubah kepada 100 buah sekolah sahaja.

“Tun Mahathir yang mengambil alih Kementerian Pendidikan bagi sementara waktu melaporkan PSP akan dilaksanakan untuk manfaat pelajar yang terdiri daripada kategori B40 sahaja. Itu sudah cukup untuk segelintir ibu bapa menjauhkan diri.

“Begitu juga janji PH untuk menghapuskan tol di seluruh negara sekiranya menguasai Putrajaya. Rakyat terkejut dan kecewa kerana kerajaan mengumumkan hanya mengurangkan beberapa peratus kadar tol dan bukan menghapus tol seperti yang terkandung dalam manifesto.

“Sekiranya mahu disenaraikan, terlalu banyak pusingan ‘U’ serta janji yang gagal ditunaikan dengan pelbagai jenis alasan, tidak cukup dengan itu rakyat juga terbeban dengan pelbagai perkara lain termasuk pengangguran serta kos sara hidup.

“Rakyat kini sedang ikat perut, bantuan sama ada di mansuh terus atau di potong sana sini. Cukai SST yang dahulunya ‘gah’ kini tidak lebih daripada beban besar berbanding GST.

“Bagaimana pula dengan keadaan ekonomi dan pasaran saham? Pelabur asing terus tarik diri. Dividen yang dibayar untuk tabung-tabung rakyat seperti Tabung Haji, ASN, ASB semuanya jatuh dengan kadar paling rendah dalam sejarah negara.

“Isu-isu seperti ini sudah cukup untuk buat rakyat hilang keyakinan dengan cara PH mentadbir malah muak dengan setiap permainan politik yang sedang melanda negara, mungkin ketika ini rata-rata rakyat merasakan adalah lebih baik untuk BN sahaja menerajui negara

“Malah isu-isu penyewelengan seperti 1MDB itu sudah tidak laku lagi di mata rakyat, hakikatnya PH perlu melakukan sesuatu atau terus tinggal legasi sebagai ‘parti satu penggal sahaja’,” tegasnya. –MalaysiaGazette

PSS umpama bola salji meranapkan Warisan di Kimanis

4 Komen

  1. Nampaknya publisti murahan LGE berkenaan pemberian DEDAK 30 hinggit yang berlansung secara aggresive dan berpanjangan dikaca2 TV belum lagi dapat MERASUAH undi penduduk2 Kimanis?

    Syabas orang Kimanis, kamuk semua orang bijak2!

  2. Nampaknya rakyat sudah tak kisah lagi tentang kes2 tuduhan politik terhadap Najib dimahkamah? Pada mereka InsyaAllah iannya in good hand pasukan peguambela yang amat arif dan berpengalaman luas dalam mengendalikan kes2 jenayah!

    Apa yang rakyat mahu adalah lebih banyak peluang pekerjaan dan mengatasi masalah kos hidup yang terlalu tinggi, itu lebih utama.

    Ratipan bila, bila, bila, (ulang sejuta kali) mahu tukar PM juga amat membosankan, ianya lansung tidak membantu rakyat B40!

  3. Dri 10 pengundi ph yg lalu, blh dikatakan separuh sudah uturn krn kcw jnji jnji mnis. Bakinya dh cukup meranap ph kerana pengundi bn kekal tidah berubah. Renung2 kn

  4. Tidak boleh dinafikan. Rakyat dah mula muak dgn PH yg “ditunjangi” DAP.

    Namun begitu BN/ UMNO harus mengambil peluang ini dgn menampakkan partinya betul2 bersih dan perjuangannya utk mendaulatkan Agama, Bangsa dan Negara berlandaskan undang2 tubuh Nalaysia.

    Mana2 pemimpin yg sedang menghadapi kes mahkamah perlu direhatkan sehingga kes2 mereka selesai. Ini membuktikan bahawa BN betul2 memperjuangkan rakyat dan bukan nya melindungi pemimpin.

Comments are closed.