Home Nasional Tragedi 4 pelajar Politeknik di Pantai Teluk Bidara: mayat pertama ditemukan

Tragedi 4 pelajar Politeknik di Pantai Teluk Bidara: mayat pertama ditemukan

DUNGUN – Seorang daripada empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang hilang dihanyutkan ombak ketika mandi manda di Pantai Teluk Bidara, di sini Jumaat lepas, ditemukan mati lemas pada kira-kira 7.30 pagi ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata mayat yang dipercayai Muhammad Zul Fahmi Zuki itu ditemukan orang awam dalam keadaan terdampar di pesisir pantai berdekatan Mayang Sari Resort, di sini.

“Mayat itu ditemui pada jarak lapan kilometer daripada lokasi mangsa mandi manda bersama rakan-rakannya. Mayat tersebut telah dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk proses pengecaman oleh pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Azman, pihaknya kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat tiga lagi yang masih hilang di kawasan lokasi yang sama mangsa ditemukan mati lemas, sehingga ke kawasan Kuala Dungun dan Pantai Teluk Gadung.

Dalam kejadian 6.30 petang Jumaat lepas, Muhamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin; Muhammad Zul Fahmi; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan; dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, kesemuanya berumur 21 tahun, dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.- BERNAMA