KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan dan Industri India, Piyus Goyal yang memohon untuk bertemu Datuk Darell Leiking di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020 yang akan diadakan di Davos, Switzerland.
Sumber Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menjelaskan, Piyus memohon pertemuan itu diadakan mengikut kesesuaian masa Darell semasa beliau menghadiri WEF yang akan berlangsung bermula esok hingga 24 Januari ini.
“Semasa lawatan itu, Menteri, Goyal mahu bertemu Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia di luar Mesyuarat Tahunan WEF di Davos,” menurut sumber itu yang memetik permintaan Piyush yang dihantar melalui e-mel bertarikh 24 Disember lalu yang dilihat oleh MalaysiaGazette.
Penjelasan tersebut dilakukan berikutan laporan media asing yang melaporkan Piyush enggan bertemu Menteri Perdagangan dan Industri Malaysia berhubung isu kelapa sawit dengan memberi alasan amat ‘sibuk’.
Pertemuan itu dikaitkan dengan pindaan status import minyak sawit bertapis ke India daripada ‘bebas’ kepada ‘terhad.’
Tindakan India itu juga dilihat sebagai tindak balas daripada kritikan Malaysia terhadap dasar kerajaan India yang membatalkan status semi-autonomi Kashmir selain keenganannya mengekstradisi penceramah bebas, Dr. Zakir Naik.
Sementara itu, bercakap kepada wartawan, Darell berkata, memang tidak akan ada pertemuan dengan Piyus semasa di Davos.
“Kita mungkin bertembung dan bertegur sapa selalunya akan membawa kepada sesuatu yang baik,” katanya.
Leiking berkata pihaknya tidak berhubung dengan pegawai kerajaan India di Davos atau terima sebarang undangan untuk berbincang dengan mereka.
“Hanya terima undangan ke Davos menerusi kerajaan Malaysia. Tiada rancangan untuk bertemu orang-orang tertentu tetapi kita mungkin bertembung dengan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette