Home Ekonomi Sistem e-pembayaran bantu kerajaan hapuskan rasuah

Sistem e-pembayaran bantu kerajaan hapuskan rasuah

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama timbalannya,Datuk Amiruddin Hamzah (tiga kiri) dan Pengerusi PayNet, Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin (empat kanan) pada Majlis Pelancaran ‘Cashless Ecosystem for Cyberjaya with Malaysia National QR' di RekaScape, Persiaran APEC, Cyber 8, Cyberjaya. foto AFFAN FAUZI, 20 JANUARI 2020

CYBERJAYA- Sistem pembayaran elektronik (e-pembayaran) boleh membantu kerajaan menghapuskan aktiviti rasuah kerana kesemua urusniaga direkodkan dan tidak meninggalkan satu ruang pun untuk pemberian atau penerimaan rasuah berlaku.

Malah menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan AS$2 trilion setahun dibazirkan untuk memberi rasuah.

Tambahnya, penggunaan e-pembayaraan juga adalah selamat dan sesuai dalam penyaluran subsidi kerajaan bagi memastikan golongan sasar yang telah dikenal pasti dapat menerimanya.

Malangnya, meskipun pelbagai usaha telah dijalankan sejak dua dekad lalu, hanya kira-kira lima peratus sahaja urusniaga di Malaysia yang menggunakan e-pembayaran.

“Pembayaran tunai lebih digemari untuk kegunaan harian seperti pembelian barangan runcit, pembayaran parkir, pembelian majalah dan surat khabar malah untuk pengangkutan awam seperti teksi.

“Ini sebabnya sekurang-kurangnya dua aspek perlu ditangani terlebih dahulu bagi meningkatkan penggunaan bayaran tanpa tunai.

“Pertama, kemudahan e-pembayaran mestu disediakan secara meluas, selamat dan senang digunakan. Ia mestu mudah digunakan seperti tunai.

“Di sinilah pentingnya penyedia kemudahan pembayaran berpusat seperti PayNet boleh meningkatkan penggunaan e-pembayaran.

“Ia juga membolehkan infrastruktur-infrastruktur seperti bank dan fintech boleh berkongsi satu platform pembayaran runcit yang sama,” katanya semasa berucap merasmikan Ekosistem Pembayaran Tanpa Tunai di Cyberjaya dengan menggunakan Malaysia National QR hari ini.

Tambah Guan Eng, satu lagi kelebihan e-pembayaran adalah untuk meningkatkan jumlah kutipan cukai kerajaan.

Katanya, apabila kutipan cukai dapat ditambah maka kemudahan prasarana untuk rakyat dipertingkat.

Dengan itu, bagi merangsang penggunaan tanpa tunai, kerajaan telah memperkenalkan program e-Tunai Rakyat dengan peruntukan sebanyak RM450 juta bagi tempoh 15 Januari 2020 sehingga 17 Mac 2020.

Setakat jam 9 malam semalam, Guan Eng berkata, sejumlah 2.9 juta permohonan e-Tunai Rakyat telah dihantar dengan 2.2 juta permohonan telah diluluskan.

Dengan itu, sejumlah RM66 juta telah diagihkan kepada rakyat.- MalaysiaGazette