Home Nasional Bentang segera RUU pendanaan politik, pinda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Bentang segera RUU pendanaan politik, pinda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

BERSIH 2.0

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Pendanaan Politik segera dengan pihak yang berkepentingan dibenarkan mengemukakan cadangan semasa sesi pendengaran oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pemandu badan bebas itu turut mendesak agar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) dipinda.

Ini kerana pendanaan politik yang tidak dikawal bukan sahaja berisiko membuka ruang berlakunya rasuah dan pengaruh tidak wajar oleh pihak berkepentingan malah ia merendahkan keyakinan umum terhadap integriti pilihan raya.

“Pada masa ini, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) kini hanya mengawal perbelanjaan kempen oleh calon pada masa kempen pilihan raya sahaja.

“Perbelanjaan oleh parti politik dan lain-lain, termasuklah untuk faedah calon sebahagian besarnya tidak dikawal. Sebagai tambahan, tidak ada peraturan untuk derma politik kepada parti politik dan calon.

“Untuk menyediakan padang yang sama rata kepada pertandingan politik dan mengurangkan pengaruh politik wang, AKPR wajib dipinda dan undang-undang pendanaan politik mesti digubal untuk mengawal dua teras utama untuk pendanaan politik, iaitu sumber dan perbelanjaan dana tersebut,” kata kenyataan itu.

Katanya lagi, sumber dana sumbangan kepada parti politik dan calon, berbentuk wang dan yang serupa dengannya yang melebihi RM1,000 perlu diisytiharkan dari semasa ke semasa.

Manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dihalang terlibat dengan aktiviti politik atau memberi sumbangan kepada mana-mana parti.

“Kawalan tersebut perlu berjalan untuk setiap masa dan untuk semua jenis sumbangan termasuk daripada individu dan korporat, serta dari dalam atau luar negeri.

“Walaubagaimanapun, syarikat berkaitan kerajaan(GLC) sebagai penjaga wang rakyat perlu dihalang daripada memberi sumbangan kepada parti politik atau terlibat dengan aktiviti politik,” katanya lagi.

Pembiayaan awam, kata badan itu, perlu ditubuhkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber persendrian terutama dari pihak korporat atau individu yang kaya.

Kenyataan Bersih 2.0 ini adalah susulan daripada testimoni Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang mendedahkan bagaimana UMNO mengutip sumbangan untuk kempen pilihan raya melalui sumbangan politik

Bersih 2.0 juga mahu had perbelanjaan berkempen untuk calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen ditingkatkan kepada masing-masing kepada RM500,000 dan RM1,000,000.

Selain itu calon yang bertanding juga haruslah menghantar laporan perlbelanjaan dan pendapatan semasa berkempen dengan dokumen sokongan yang akan diaudit dan dipamer oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai langkah meningkatkan ketelusan.

Namun dalam masa yang sama badan bebas itu melihat langkah mereformasikan pendanaan politik perlu seiring dengan SPR.

“Bagi perbelanjaan dana pula, had perbelanjaan kempen RM100,000 untuk calon ADUN dan RM200,000 untuk calon parlimen perlu ditingkatkan kepada jumlah yang lebih realistik. Kami mencadangkan untuk perbelanjaan kempen dinaikkan ke RM 500,000 dan RM1,000,000. Peraturan ini juga perlu meliputi perbelanjaan oleh parti politik dan pihak ketiga.

“Semua calon perlu menghantar laporan perbelanjaan dan pendapatan semasa kempen pilihan raya dengan dokumen sokongan, dan ini perlu diaudit serta dipamerkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk disemak oleh orang ramai bagi meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Reformasi pendanaan politik juga perlu seiiring dengan reformasi SPR untuk memastikan mereka mempunyai kuasa bagi menguatkuasakan undang-undang pilihan raya,” jelas kenyataan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nak buat apa pun perubahan dan pembaharuan buat lah dalam penggal ini. jangan tunggu penggal nanti.

Comments are closed.