KUALA LUMPUR – Pelakon Fikry Ibrahim terus melebarkan sayap dalam bidang perniagaan dengan melancarkan khidmat penghantaran makanan yang dimasak di rumah menerusi aplikasi ‘Go Eat’.
Fikry yang juga pengasas perkhidmatan tersebut berkata, peniagaannya itu bertujuan membantu golongan ibu tunggal menjana pendapatan sampingan.
“Saya berharap dengan pelancaran aplikasi ini bisnes terbaru yang diusahakan untuk membantu golongan muda serta ibu tunggal untuk menjana pendapatan lumayan setiap bulan mencapai sasaran.
“Saya terpanggil untuk menyediakan perkhidmatan ini selepas melihat ramai menjalankan perniagaan dari rumah belum berjaya meskipun menawarkan makanan yang sedap.
“Jadi, saya sediakan platform ini berserta penghantaran untuk membantu mereka. Saya percaya ramai yang suka dengan masakan dari rumah kerana rasanya yang lazat. Saya harap inisiatif ini akan dipermudahkan dan berjaya,” katanya ditemui ketika majlis pelancaran baru-baru ini.
Pelakon berumur 26 tahun itu berharap aplikasi yang diusahakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman akan berjaya.
Aplikasi ‘Go Eat’ boleh dimuat naik menerusi platform PlayStore dan iOS AppStore bermula 18 Januari 2020.
Dalam perkembangan lain, Fikry berkata, dia hanya ingin fokus kepada perniagaan yang baru diceburi ini selain karier lakonannya.
Fikry juga memiliki kedai gunting rambut yang mula beroperasi Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette