Home Dunia Kes wabak coronavirus semakin meningkat di China

Kes wabak coronavirus semakin meningkat di China

BEIJING – Wabak coronavirus telah merebak lebih luas di bandar raya China, termasuk Beijing dan Shanghai.

Malah, dilaporkan berlaku kes keempat di luar sempadan China.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengesahkan virus yang menyebabkan radang paru-paru, boleh berjangkit dari manusia kepada manusia, demikian menurut agensi berita Xinhua.

Presiden Xi Jinping berkata, membanteras wabak dan menyelamatkan nyawa adalah keutamaan negara itu kini selepas bilangan pesakit meningkat lebih tiga kali ganda dengan mangsa ketiga telah meninggal dunia.

Wabak itu semakin sukar dibendung kerana beratus-ratus juta orang mengembara dalam dan luar negeri menjelang cuti Tahun Baru Cina yang bermula minggu ini.

Pihak berkuasa di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat dan banyak negara Asia, telah meningkatkan pemeriksaan pelancong dari Wuhan, bandar yang menjadi lokasi penemuan virus berkenaan pada kali pertama.

“Menjelang sambutan Tahun Baru Cina kami bimbang wabak ini akan merebak lebih meluas,” kata Jeremy Farrar, pakar dalam wabak penyakit berjangkit dan Pengarah Kesihatan Global Wellcome Trust.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baru virus itu di China sehingga jam 6 petang waktu tempatan (1000 GMT) dengan 198 kes dari Wuhan.

Manakala lima kes baru di Beijing dan 14 lagi di wilayah Guangdong.

Satu lagi kenyataan mengesahkan satu kes baru di Shanghai, menjadikan jumlah kes wabak kepada 222.

“Nyawa dan kesihatan manusia perlu diberi keutamaan dan virus yang sedang merebak ini perlu ditangani,” kata Jinping.

Virus ini tergolong dalam keluarga coronavirus yang sama seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), yang membunuh hampir 800 orang di seluruh dunia pada tahun 2002/03 yang juga bermula di China. – MalaysiaGazette