KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Melaka dijadualkan akan mengumumkan sistem catuan air bagi negeri itu esok.
Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, pengumuman itu akan dibuat selepas Mesyuarat Mingguan Exco berikutan kadar paras empangan yang membimbangkan.
“Catuan air dilaksanakan sebagai langkah penjimatan bagi mengelakkan air empangan dan kolam takungan semakin berkurangan.
“Apa pun kita nantikan esok sama ada ia dilaksanakan atau tidak,” katanya menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Tambah Adly, langkah penjimatan air itu perlu dilaksanakan memandangkan cuaca panas yang melanda negeri itu.
Ia difahamkan akan berpanjangan hingga April ini.
Status paras air terkini empangan dan kolam takungan berada pada paras 46 peratus dan langkah penjimatan air harus dilakukan segera. – MalaysiaGazette